Kerajaan Selangor lancar IDRISS, pembangunan ekonomi di selatan Selangor

Israr Khalid
Mac 16, 2023 12:03 MYT
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) melancarkann Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor secara rasminya melancarkan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
Ia adalah projek pembangunan berasaskan wilayah yang merupakan salah satu agenda dalam Rancangan Selangor pertama di bawah teras ekonomi, di mana daerah Sepang dan Kuala Langat menjadi tumpuan khusus merangkumi tanah seluas 40,000 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1 trilion.
IDRISS dijana menerusi pembangunan pelaburan swasta secara bersepadu dilengkapi kemudahan oleh Kerajaan Negeri serta turut disokong insentif daripada pihak Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, projek pembangunan ini adalah langkah tepat untuk menggalakkan pemaju atau pemilik hartanah membangunkan hartanah mereka dan secara langsung mengaktifkan semula pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ianya juga secara langsung dapat menarik minat pemaju hartanah untuk mempercepat aktiviti pembangunan dengan membantu mengurangkan bebanan kos awalan pembangunan bagi sesuatu projek,” katanya pada majlis perasmian IDRISS.
Projek pembangunan yang dicadangkan di bawah IDRISS merangkumi sektor perindustrian, perkhidmatan logistik, pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan, antaranya Selangor Business Capital, Selangor International Aeropark, Sepang Gold Coast Global Village, Unisel Global Campus, NCT Smart Industrial Park, Pelabuhan Pulau Carey, dan Zon Ekonomi Khas Pulau Carey.
Bagi merancakkan lagi projek-projek pembangunan di Selangor, Kerajaan Negeri turut memberikan pertimbangan dan meluluskan insentif bagi IDRISS dan insentif bagi Pembangunan Taman Perindustrian berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) di Negeri Selangor yang dilancarkan pada 2021.
Lima insentif rangsangan telah diperkenalkan untuk memacu pembangunan IDRISS ialah skim premium khas, bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah, pengecualian cukai taksiran tanah kosong, potongan 50% cukai taksiran bangunan kosong, dan pengecualian bayaran lesen perniagaan.
Empat insentif lagi telah diperkenalkan untuk Pembangunan Taman Perindustrian berkonsepkan MIP seperti bagi memudahkan para pelabur seperti proses laluan segera; tempoh kelulusan tujuh hari bekerja dan permohonan kelulusan urusan tanah dikemuka terus kepada PTG Selangor tanpa melalui PDT; pengecualian pembayaran cukai taksiran (tanah kosong) selama lima tahun dan potongan 50% pembayaran cukai taksiran (bangunan kosong) selama lima tahun; serta pengecualian bayaran lesen perniagaan untuk lima tahun pertama.
Manakala bagi pihak pemaju dan pengurus taman perindustrian MIP tujuh lagi insentif diperkenalkan seperti Premium Tanah; Bayaran Ansuran Caj Pemajuan Tanpa Faedah; Pengecualian Penyediaan Kilang Kos Rendah; Kuota Pemilikan Hartanah Bagi Warganegara Asing, Syarikat Asing, dan Penduduk Tetap; Pajakan Jangka Masa Panjang Pembangunan Bukan Strata; Pengecualian Cukai Tanah Bagi Tahun Pertama; dan Pengecualian serta Potongan Pembayaran Cukai Taksiran.
IDRISS diharap dapat menjadi pemangkin utama kepada usaha mempromosikan Selangor sebagai hub pelaburan dan perdagangan di rantau ini.
#Selangor #IDRISS #pembangunan ekonomi #Amirudin Shari