Kerajaan Selangor bentang Belanjawan 2023 berjumlah RM2.45 bilion

Bernama
November 25, 2022 17:12 MYT
Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM2.45 bilion, merangkumi RM1.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.20 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, kata Datuk Seri Amirudin Shari. - Gambar BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM2.45 bilion, merangkumi RM1.25 bilion (51 peratus) untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.20 bilion untuk perbelanjaan pembangunan (49 peratus).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Negeri Selangor hari ini berkata, bagi tahun hadapan kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2 bilion.
Beliau berkata, antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun hadapan adalah premium tanah sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan, diikuti hasil cukai tanah sebanyak RM570.51 juta (29 peratus) dan pemberian Persekutuan berjumlah RM214.81 juta (11 peratus).
"Mengambil kira jangkaan hasil negeri yang berjumlah RM2 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.45 bilion, maka Belanjawan 2023 mengalami defisit berjumlah RM450 juta," katanya.
Beliau berkata, defisit itu adalah lebih tinggi berbanding defisit Belanjawan 2022 (RM293 juta) dan ia bagi membuat persediaan pengurusan bencana akibat perubahan iklim serta penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan Selangor.
Amirudin berkata anggaran perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM1.25 bilion yang merangkumi perbelanjaan bagi emolumen (RM449.73 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM561.77 juta), aset (RM12.68 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM185.96 juta) serta perbelanjaan lain (RM39.82 juta).
Dalam cadangan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.2 bilion, katanya sebahagian besar diperuntukkan kepada sektor sosial berjumlah RM360 juta; pembangunan infrastruktur berjumlah RM355 juta; RM287 juta bagi tujuan pembangunan ekonomi manakala selebihnya RM198 juta dicadangkan untuk sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.
Amirudin berkata dengan tema, "#KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan" kerajaan negeri menggariskan lima teras utama.
Lima teras tersebut ialah Mengukuhkan Pertumbuhan Ekonomi; Membudaya Perpaduan dan Masyarakat Penyayang; Pendidikan dan Pembangunan Generasi Masa Depan; Kehidupan Lestari dan Sejahtera dan Tadbir Urus Cekap dan Bertanggungjawab.
Katanya kerajaan negeri turut menyasarkan pengukuhan ekonomi dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 yang akan memperkasakan usaha promosi penggalakan pelaburan dan usaha tersebut turut dilaksanakan menerusi anak syarikat, Invest Selangor dengan peruntukan RM25 juta.
Menurut Amirudin, Selangor turut mengenal pasti dua industri baharu yang berpotensi untuk melonjakkan negeri sebagai destinasi pelaburan iaitu industri perkhidmatan logistik dan pelaburan digital.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan melanjutkan pengecualian Duti Hiburan yang diberikan pada tahun ini sehingga 31 Disember 2023.
Amirudin berkata kerajaan negeri akan memberikan tumpuan utama kepada sektor pertanian khususnya pertanian makanan melalui Program Keselamatan Bekalan Makanan Negeri Selangor dengan peruntukan berjumlah RM7.9 juta pada tahun depan, hasil pengalaman dan pengajaran yang diperoleh semasa pandemik COVID-19 serta kesan daripada cuaca yang tidak menentu sebelum ini.
Katanya Jabatan Pertanian Negeri Selangor juga akan menerima peruntukan RM11 juta melalui 14 program insentif bagi melaksanakan program tumpuan terhadap produktiviti tanaman, pemindahan teknologi, makanan selamat serta pengeluaran produk pertanian berorientasikan eksport melalui usaha menaik taraf infrastruktur agromakanan dan pengamalan teknologi terkini di peringkat ladang dan premis.
Amirudin berkata kerajaan negeri memperuntukkan dana pinjaman di bawah Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor dengan peruntukan sebanyak RM100 juta yang dapat memberi manfaat kepada 4,000 pemohon dan dijangka akan dilaksanakan seawal suku kedua 2023.
Pada tahun depan, katanya projek tebatan banjir akan dilaksanakan di lembangan Sungai Klang dengan peruntukan RM6.255 juta; lembangan Sungai Langat (RM5.67 juta) dan lembangan Sungai Selangor (RM1.52 juta) yang bakal dilakukan secara sinergi dengan projek di bawah peruntukan Persekutuan bagi mendapatkan keberkesanan yang lebih holistik dalam menangani isu banjir di negeri ini.
Katanya Selangor juga akan meneruskan program pengecualian cukai taksiran bagi kategori kediaman kos rendah dan kediaman kampung serta fi lesen penjaja dan peniaga kecil bagi tahun kelapan pada tahun 2023 yang dianggarkan memberikan impak kewangan berjumlah RM68.7 juta kepada kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#Kerajaan Selangor #Belanjawan 2023 #Menteri Besar Selangor #Amirudin Shari
;