Kerajaan Selangor belum putus ambil tindakan kes penipuan permohonan banjir - MB

Hasimi Muhamad
Februari 5, 2022 16:47 MYT
Amirudin berkata keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan bantuan banjir disalurkan secepat mungkin kepada mereka yang terkesan akibat bencana itu. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor belum memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan penipuan terhadap permohonan bantuan banjir.
Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah mengeluarkan nama segelintir pemohon selepas mengesan berlaku pertindihan dalam proses permohonan.
Jelas beliau, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan bantuan banjir disalurkan secepat mungkin kepada mereka yang terkesan akibat bencana itu pada hujung Disember tahun lalu.
"Bermakna apa yang terjadi kita kena semak semua, tidak boleh kita luluskan secara 'blanket'. Bila kita luluskan secara 'blanket', ada kecenderungan berlaku pertindihan. Saya rasa daerah yang terdedah ini mungkin Klang dan Petaling sebab jumlahnya tinggi.
"(Tindakan) kita akan lihat dulu, tetapi itu bukan keutamaan. Keutamaan kita adalah untuk selesaikan bantuan banjir secepat mungkin.
"Jangkaan saya, mungkin (bantuan dapat disalurkan sepenuhnya) sebelum akhir bulan Februari, tetapi saya letakkan sehingga akhir bulan Februari sekiranya ada sebarang bantahan, rungutan atau yang terlepas," katanya dalam sidang media khas sempena jualan ayam murah di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata setakat ini hampir 60 peratus atau kira-kira RM5.5 juta bantuan telah disalurkan kepada mangsa banjir di negeri itu.
Katanya, lebih 100,000 permohonan diterima bagi mendapatkan bantuan banjir.
"Tetapi ada daerah-daerah tertentu sudah hampir selesai semuanya, kurang daripada 1,000 (permohonan). Hanya Klang dan Petaling sahaja mencatatkan hampir 40,000 yang belum diagihkan (bantuan). Jadi, kalau bantuan telah disalurkan di Klang dan Petaling, saya rasa kita sudah sampai 60 atau 70 peratus," ujarnya lagi.
Amirudin menambah kerajaan negeri akan menstruktur semula kaedah agihan bantuan bagi mempercepatkan lagi penyaluran bantuan kepada mereka yang belum menerimanya.
Semalam, media melaporkan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau akan mengusulkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati menipu dokumen atau mengambil kesempatan bagi mendapatkan bantuan banjir.
#Banjir 2021 #banjir selangor #bantuan banjir #Aminuddin Harun
;