Kerajaan Selangor bantu 48 keluarga terjejas akibat ribut di Sekinchan

Bernama
Mac 15, 2025 18:00 MYT
Sejumlah 48 keluarga mangsa ribut di Taman Ria, Sekinchan menerima bantuan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas. -Facebook Ng Suee Lim
SABAK BERNAM: Seramai 48 keluarga mangsa ribut yang melanda Taman Ria, Sekinchan dekat sini pada 11 Mac lepas menerima bantuan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas, bagi meringankan beban mereka.

Ringkasan AI
  • 48 keluarga mangsa ribut di Taman Ria, Sekinchan menerima bantuan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas.
  • Bantuan disalurkan melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS), pejabat DUN Sekinchan, dan MBI Selangor, dengan peruntukan berjumlah RM30,000 dan bantuan LZS RM100,300.
  • Ng Suee Lim menyeru penduduk Sekinchan untuk berwaspada menghadapi fenomena ribut sepanjang musim perubahan monsun, dan menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim berkata bantuan berkenaan disalurkan menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan berkata pihaknya juga sedang berusaha mengumpul lebih banyak pihak yang sudi membantu usaha meringankan beban mangsa agar mereka boleh kembali ke rumah masing-masing secepat mungkin.
"Kita (DUN Sekinchan) cuba sedaya upaya menyantuni mangsa dengan menyampaikan peruntukan berjumlah RM30,000 secara 'sekali bayar', tidak termasuk bantuan LZS berjumlah RM100,300 kepada 27 keluarga yang boleh digunakan untuk membaiki rumah.
"Selain itu saya juga ada berbincang dengan MBI Selangor dan mereka telah bersetuju untuk bekerjasama mempercepat bantuan membaiki rumah," katanya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan selepas majlis penyerahan sumbangan mangsa ribut di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Md Yusmizan Yusof, yang menyampaikan sumbangan mengikut kadar anggaran kerosakan rumah masing-masing.
Sementara itu Ng menyeru penduduk di sekitar Sekinchan untuk berwaspada dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan fenomena ribut sepanjang musim perubahan monsun.
"Rekod kajian impak menunjukkan Sekinchan dan Sabak Bernam diliputi dengan kawasan rata seperti bendang atau jelapang padi, oleh itu kawasan ini sering dilanda ribut dalam skala kecil," katanya.
Ng turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada 10 buah masjid, dan RM500 kepada 20 buah surau di seluruh Sekinchan.
Malapetaka ribut Rabu lepas telah meranapkan 48 rumah di Taman Ria, Sekinchan, dan ia merupakan kejadian kedua melanda Sekinchan dalam tempoh seminggu, selepas insiden pertama di Kampung Parit 4 pada 6 Mac lepas menyebabkan lapan rumah mengalami kerosakan teruk.
-- BERNAMA
#Sekinchan #mangsa ribut #Taman Ria #Ng Suee Lim
;