Kerajaan segerakan peruntukan atasi banjir di Rantau Panjang - PM Anwar

Bernama
Ogos 3, 2024 18:30 MYT
Perdana Menteri ketika sidang media di Kompleks Apam Putra, Pejabat Tanah Dan Jajahan Pasir Mas hari ini. - Foto Bernama
PASIR MAS: Kerajaan akan menyegerakan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk mengatasi masalah banjir di Rantau Panjang dekat sini, yang berpunca dari muara Sungai Golok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata peruntukan itu bagi tujuan menggali dan membersihkan Sungai Golok dan penyelesaian untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan juga telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin kerana ia turut berlaku di kawasan selatan negara itu.
Masalah banjir di Rantau Panjang di sini dan Narathiwat, Thailand menurut Anwar adalah antara hal yang sudah tertangguh sejak sekian lama.
"Antara punca (banjir) adalah sungai (Sungai Golok) yang tidak diurus kerana tidak dibersihkan dan tidak dikorek di muara sungai kerana sebahagian tanah ialah milik Malaysia dan sebahagian lagi milik Thailand.
"Jadi, saya beritahu Perdana Menteri Thailand (Srettha), selagi tidak digali muara sungai itu, limpahan air akan terkesan di Kelantan dan di sekitar Narathiwat ... dan kita saksikan tahun demi tahun perkara ini berlarutan," kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas di sini hari ini, bersempena dengan lawatan kerja beliau ke Rantau Panjang dan Sungai Golok yang turut melibatkan pertemuan dengan Srettha.
Menurut Anwar, Menteri Luar Malaysia dan Thailand dijadualkan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan dengan secara dasarnya Perdana Menteri kedua-dua negara telah bersetuju supaya ia diselesaikan segera.
Anwar berkata peruntukan bagi tujuan itu akan diberikan selepas perkara terbabit diselesaikan pada peringkat teknikal.
Tindakan aktif kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan beberapa projek yang sudah tertangguh sekian lama termasuk isu banjir, menurut Perdana Menteri menunjukkan begitu banyak tumpuan diberikan kepada negeri Kelantan.
"Ya ... terlalu banyak tumpuan diberi kepada Kelantan sekarang," kata Anwar sambil berseloroh diikuti respons ucapan "Terima kasih" daripada Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Ditanya mengenai perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang juga bertujuan menangani masalah banjir terutama di Rantau Panjang, Anwar berkata beliau telah meminta projek itu juga disegerakan.
"Projek telah diluluskan dan wang disediakan cuma mengikut pakar kejuruteraan apabila melibatkan jambatan atau tebatan banjir, skop kajian sangat teliti," katanya dan menambah beliau memahami penyelesaian masalah banjir paling dinanti-nantikan penduduk yang sering terkesan dengan bencana itu.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Sungai Golok #Rantau Panjang #peruntukan kewangan #kerajaan negeri Kelantan
;