Kerajaan sedia tayang siasatan PAC, tapi tertakluk pada keputusan Speaker Dewan Rakyat - Khairy

Hilal Azmi
Jun 7, 2015 15:37 MYT
KHAIRY: Sesiapa yang dipanggil untuk prosiding ini perlulah mereka yang ada kaitan dengan isu prosiding.
Kerajaan bersedia menayangkan siaran rakaman mahupun siaran langsung prosiding siasatan berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui televisyen.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan berkenaan pernah diutarakan Menteri Penerangan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam mesyuarat Kabinet.
"Shabery dah lama cadang prosiding untuk menayangkan prosiding tersebut. Tetapi, keputusan untuk menayangkan prosiding terbabit tertakluk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.
"Kalau tidak, kita tak boleh buat sebab perkara ini di bawah kuasa Parlimen.
"Bagi saya, sesiapa yang dipanggil untuk prosiding ini perlulah mereka yang ada kaitan dengan isu prosiding. Sebagai contoh, hendak panggil Tun Dr Mahathir, dia tiada kena mengena dengan 1MDB.
"Jadi, PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) akan hanya dapat panggil individu yang terlibat dengan 1MDB saja," tambahnya ketika ditemui media selepas melawat pameran Art of Speed 2015 di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pada Jumaat dialog antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diadakan di kaca televisyen untuk tontonan umum.
Perkara tersebut turut disokong bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataannya kepada Awani pada Sabtu.
#1MDB #Khairy Jamaluddin #PAC #prosiding
;