Kerajaan sedia RM5 juta kepada Yayasan Karyawan, usaha martabat karya klasik - PM Anwar
Faida Rahim
April 17, 2023 22:46 MYT
April 17, 2023 22:46 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM5 juta peruntukan disediakan bagi Yayasan Karyawan dalam usaha mengangkat karya agung dan klasik melibatkan dunia Islam dan khazanah Melayu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aktiviti terjemahan karya agung perlu dipergiat agar rakyat dapat menelaah dan meneladani lebih banyak bahan bacaan yang ilmiah.
"Kerajaan meluluskan RM20 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Yayasan Karyawan, jadi RM3 juta itu untuk Yayasan Karyawan dan RM2 juta tambahan ini untuk karya-karya Sasterawan Negara.
"Kalau tidak dia nanti dia bukan jadi keutamaan orang seperti A Samad Said, Usman Awang dan Mohd Haji Salleh. Jadi tidak ada peluang dipopularkan karya mereka," katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran karya agung Melayu Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Pemegang Amanah Yayasan Karyawan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Dalam masa sama, beliau berharap negara menghayati dan mengambil iktibar dari sejarah menerusi karya agung terutama dalam membina Malaysia sebagai negara bebas rasuah.