Kerajaan sedia RM100 juta untuk Jualan Rahmah - Fuziah
Amirah Nordin
Mac 25, 2023 16:10 MYT
Mac 25, 2023 16:10 MYT
JERANTUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk menjaya program Jualan Rahmah bagi meringankan beban rakyat.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, setakat ini program Jualan Rahmah telah dilaksanakan di 134 lokasi melibatkan 29 kawasan Parlimen dan akan diperluaskan ke seluruh negara.
"Program ini akan perluaskan ke seluruh negara sebagai sebahagian dari usaha kerajaan membantu mengurangkan kos sara hidup.
"Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut hari perayaan seperti bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sewaktu membuat tinjauan Program Jualan Rahmah di Pasar Raya Econsave di bandar Jerantut hari ini.
Katanya lagi, kerajaan terus komited untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi yang mencabar dan tidak menentu hari ini.
"Menerusi program ini, penduduk boleh berjimat 20 item barang keperluan dapur dengan harga yang murah, misalnya ayam standard dijual dengan harga RM7.99 sekilogram (kg) berbanding harga siling RM9.40 (kg).
"Manakala harga telur gred C berharga RM10 berbanding harga siling, RM12.30," katanya.
Katanya lagi, pengguna boleh berjimat berbelanja antara 10 hingga 20 peratus yang melibatkan keperluan seperti ikan, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses.
"Kerajaan berharap lebih ramai pemain dalam sektor industri perniagaan seperti hypermarket dan pasar raya supaya bersama berganding bahu bersama menyertai program ini," katanya lagi.