Kerajaan sedia peruntukan pembangunan RM942.85 juta untuk Kedah, Perlis
Bernama
November 13, 2024 04:45 MYT
November 13, 2024 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM942.85 juta di Kedah dan Perlis bagi mewujudkan kawasan perindustrian baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menurut Kementerian Ekonomi.
Kementerian itu berkata antara kawasan perindustrian baharu yang diwujudkan termasuk projek kemudahan infrastruktur di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping dengan kos RM723.7 juta dan pembangunan infrastruktur asas zon industri Fasa Lima di Kulim Hi-Tech Park dengan kos RM132 juta.
"Turut diwujudkan projek pembangunan National Center for Education Research (NCER) Agribio Economic Zone (NAEZ) di Chuping dengan kos RM80 juta dan projek cadangan menyediakan kemudahan infrastruktur di Nakawan Border Industrial Park, Padang Besar, Perlis dengan kos RM7.15 juta," katanya.
Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Selasa bagi menjawab soalan yang dikemukakan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berhubung langkah-langkah kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang saksama di negeri-negeri seperti Kedah dan Perlis.
Menurut kementerian itu, dengan adanya kawasan perindustrian baharu di negeri-negeri tersebut, peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui kemasukan pelaburan yang secara tidak langsung berupaya mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke negeri lain.
-- BERNAMA