Kerajaan sedia perluas kelayakan pengeluaran Akaun 1 KWSP - Menteri Kewangan

Fauzi Suhaimi
November 14, 2020 14:41 MYT
Kerajaan, kata Tengku Zafrul, masih lagi berunding dan berbincang dengan KWSP dengan mengambil kira keresahan rakyat. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia untuk memperluaskan kelayakan pencarum bagi pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu bagaimanapun masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak terlibat.
"Kami masih lagi berunding dan proses perbincangan bersama KWSP masih berjalan untuk kita perluaskan dengan mengambil kira keresahan rakyat.
"Jadi selepas rundingan itu selesai, kita perlu tunggu dalam beberapa hari lagi untuk saya serta KWSP umumkan berhubung usaha memperluaskan kepada lebih 600,000 rakyat menerima faedah ini.
"Kita juga akan jelaskan kenapa kita buat demikian," katanya dalam sidang media di Wisma Bernama di sini pada Sabtu.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan bagi meringankan beban kewangan ahli-ahli yang terjejas.
Sebelum ini, KWSP telahpun memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000.
Skim itu telah memanfaatkan kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.
BACA: KWSP dinasihat benar lebih ramai pencarum keluarkan wang akaun 1 - Tengku Zafrul
BACA: KWSP sedang perhalusi kemudahan pengeluaran Akaun 1
BACA: BELANJAWAN 2021: Kerajaan benarkan keluar simpanan Akaun 1 KWSP secara bersasar
#KWSP #keresahan rakyat #Belanjawan 2021 #Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #akaun 1 #I lestari #COVID-19
;