Kerajaan sedia pakej internet berkelajuan tinggi untuk langganan sekolah KPM mulai 1 Julai - Fahmi
Bernama
Mei 18, 2024 15:00 MYT
Mei 18, 2024 15:00 MYT
SEMPORNA: Kerajaan akan menyediakan pakej khas langganan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi untuk dilanggan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 1 Julai ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pakej khas melalui pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) itu akan menawarkan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil dengan harga lebih murah berbanding talian mudah alih.
"Perinciannya akan diumumkan (nanti), tetapi mulai 1 Julai sekolah-sekolah di bawah KPM, ada 10,000 sekolah, akan dapat memilih pakej-pakej internet lebih laju, lebih murah.
"Kerajaan berharap agar infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di negeri Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tinjauan PoP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, di sini hari ini.