Kerajaan sedia menimbang cadangan benarkan hospital swasta beli vaksin - Khairy
Umavathi Ramayah
Mac 29, 2021 15:16 MYT
Mac 29, 2021 15:16 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia menimbangkan cadangan untuk memberi peluang kepada hospital swasta untuk membeli vaksin COVID-19 terus daripada pembekal.
Namun kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, rundingan dengan pembekal vaksin itu akan mengambil masa dan menjangkakan paling awal ia boleh diperolehi adalah pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
"Andaian apabila beri peluang hospital swasta beli vaksin, mereka akan dapat vaksin dengan cepat dan golongan yang sanggup bayar akan diberi suntikan dengan segera.
"(Namun) Jangan ingat mereka yang berada boleh bayar dan dan dapatkan vaksin pada bulan ini atau bulan depan sebab seluruh dunia berdepan dengan masalah kekurangan bekalan.
"Saya juga maklum mengenai pasaran vaksin ini. Sebagai orang yang terlibat dalam rundingan dengan syarikat-syarikat vaksin, penghantaran vaksin kepada pasaran swasta, paling awal pun mungkin dalam suku tahun ketiga atau keempat tahun ini," katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan hospital swasta mengenai perkara itu.
Sebelum ini, persatuan yang mewakili hospital-hospital swasta di Malaysia menggesa kerajaan mengizinkan ahlinya membeli sendiri bekalan vaksin COVID-19 dan memberikannya kepada masyarakat.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata, akan ada juga syarikat yang ingin membiayai vaksinasi pekerja mereka sendiri untuk lebih memastikan mereka menerima dua dos lengkap, dan penglibatan sektor swasta dapat membantu dalam hal ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sudah menambah hampir 150,000 lagi petugas barisan hadapan untuk menerima dos vaksin COVID-19 pada fasa pertama program imunisasi itu.
Beliau berkata, pertambahan itu dibuat pada 10 Mac lalu, menjadikan kini seramai 647,398 petugas barisan hadapan didaftarkan untuk menerima vaksin bagi fasa pertama.
#program vaksinasi
#Khairy Jamaluddin
#MOSTI
#COVID-19
#Persatuan Hospital Swasta Malaysia
#Kementerian Kesihatan
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#vaksin