Kerajaan sedia kaji OSA, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 - Takiyuddin
Astro Awani
Disember 2, 2020 13:07 MYT
Disember 2, 2020 13:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa terbuka untuk mengkaji undang-undang sedia ada termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk penambahbaikan, kata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.
Malah tambah beliau, pandangan masyarakat sivil akan turut diambil kira bagi kepentingan awam dan negara dalam proses itu.
"Saya merasakan kerajaan tidak mempunyai masalah terutama sekiranya pandangan diberikan masyarakat sivil untuk kita menambah baik perundangan sedia ada," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan R. Sivarasa (PH-Sungai Buloh) mengenai sama ada kerajaan bercadang meminda atau memansuhkan OSA serta melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat khususnya bagi melindungi pemberi maklumat.
Dalam pada itu menjawab soalan asal Sivasara, Takiyuddin berkata, pemberi maklumat yang bertindak dengan niat baik dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Katanya, melalui Akta 711 yang dikuat kuasa mulai 15 disember 2010 itu, pemberi maklumat diberi perlindungan berkenaan maklumat sulit, membabitkan identiti, alamat, pekerjaan dan yang berkaitan.
Katanya, pemberi maklumat juga kebal daripada tindakan sivil dan jenayah serta dilindungi daripada tindakan memudaratkan, sama ada terhadap dirinya atau mana-mana orang mempunyai hubungan atau kaitan.
Takiyuddin berkata, skop pelaksanaan Akta 711 membabitkan sektor awam dan swasta seperti peruntukan dalam, Seksyen 2 akta berkenaan selain skop agensi penguatkuasaan ditakrifkan adalah luas.
"Ia merangkumi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.
Bagi tujuan tersebut, jelas Takiyuddin, pemberi maklumat juga perlu memberikan kerjasama dan bertindak mengikut peruntukan yang ditetapkan bagi membolehkan perlindungan yang sewajarnya diberikan kepada mereka di bawah undang-undang.
#Dewan Rakyat
#Parlimen
#Takiyuddin Hassan
#Akta Rahsia Rasmi 1972
#Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Polis Diraja Malaysia