Kerajaan sedia bantuan kepada pekerja sektor penerbangan yang terjejas akibat COVID-19 - Saravanan
Astro Awani
November 23, 2020 22:55 MYT
November 23, 2020 22:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM50 juta untuk membantu pekerja-pekerja sektor penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menjelaskan disamping peruntukan tersebut, kerajaan juga akan menyediakan perancangan terbaik untuk membela nasib pekreja-pekerja sektor penerbangan.
"Maka dengan adanya satu lagi berita baik yang mana Menteri Kewangan telah menyediakan sebanyak RM50 juta khususnya untuk sektor ini.
"Kita kena ada satu pelan, bukan hanya harap mereka berjaya, kita kena ada pelan yang kukuh bagi memastikan nasib kumpulan ini terbela," katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Selain itu, jelasnya Kementerian Sumber Manusia telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menyediakan satu peruntukan khas kepada bekas kakitangan sektor penerbangan.
Menurut Saravanan, perbincangan itu diadakan bagi memastikan mereka dalam sektor penerbangan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dapat memulakan perniagaan.
Saravanan berkata, pihaknya percaya kumpulan ini bukan hanya perlu diberikan kemahiran tetapi juga perlu diberi bantuan modal untuk memulakan kemahiran baru yang mereka pelajari.
"Memandang mereka tiada pendapatan tetapi tiba-tiba kita beri latihan kemahiran, tidak ada penyelesaian, mungkin mereka ada kemahiran tetapi tidak ada modal.
"Maka kementerian saya sedang berbincang dengan tekun dan saya telah bincang dengan Menteri Usahawan dan Koperasi untuk mereka diberi sedikit modal," katanya lagi.
Saravanan menjelaskan beliau amat bersimpati dengan nasib pekerja-pekerja sektor penerbangan yang telah hilang punca pendapatan lebih enam bulan yang lalu.
#M Saravanan
#Kementerian Sumber Manusia
#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
#penerbangan
#bantuan
#COVID-19