Kerajaan sedang teliti dasar tidak benar eksport tenaga diperbaharui - Nik Nazmi

Hasimi Muhamad
Mac 20, 2023 11:15 MYT
Nik Nazmi berkata penelitian terhadap dasar tersebut dibuat kerana wujud beberapa permintaan daripada Kerajaan Negeri termasuk dari Sarawak. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dasar untuk tidak mengeksport tenaga diperbaharui (RE) masih terpakai, tetapi kerajaan sedang meneliti perkara itu, kata Menteri Sumberi Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Memberitahu Dewan Rakyat, Nik Nazmi berkata penelitian terhadap dasar tersebut dibuat kerana wujud beberapa permintaan daripada Kerajaan Negeri termasuk dari Sarawak.
Bagaimanapun sekiranya dasar eskport RE diubah, beliau menegaskan perkara itu mesti dilakukan mengikut terma yang ditetapkan oleh Malaysia dan menjaga kepentingan negara.
"Bagi kita bila bercakap tentang dasar (eksport RE), pertama dasar sedia ada iaitu untuk tidak espkort RE, itu masih terpakai.
"Cuma pihak kerajaan meneliti kerana ada beberapa permintaan termasuk misalnya daripada Sarawak untuk mengeksport RE. Kita nak melihat kerangka secara keseluruhan dan baru-baru ini kita sedia maklum negara Kemboja dan Indonesia ada menandatangani, sama ada Perjanjian persefahaman (MoU) dengan Singapura untuk eskport RE.
"Penjelasan kita mudah dalam hal ini, sekiranya kita ubah dasar eksport RE ini, pertama sekali itu mesti dilakukan mengikut terma Malaysia," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mahu tahu adakah kerajaan mahu menukar dasar tidak membenarkan eksport RE, yang disifatkan telah banyak membantu kemasukan industri RE ke dalam negara.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi (PH-Setiawangsa) berkata, jika eksport industri RE dibenarkan ia bukan mengenai jumlah yang terhad, sebaliknya ia membolehkan negara mempertingkatkan kemahiran kapasiti tenaga baharu.
"Sekarang pun walaupun kita telah menyemak semula bagi tarif sektor industri dan komersial yang menggunakan voltan sederhana dan tinggi, (tetapi) tarif dalam sektor itu masih ada subsidi.
"Itu antara kekangan untuk membolehkan sektor RE kita berkembang kerana mereka tidak dapat menjual tenaga yang mereka jana itu pada harga yang komersial tetapi di negara Singapura, ia adalah pada harga pasaran.
"Ada banyak yang nak menggunakan teknologi baharu untuk mengatasi kekangan, contohnya tenaga solar, (penggunaan) waktu empat sahaja, dan waktu puncak mereka dapat menjana tenaga yang paling efektif. Sekarang ada teknologi penyimpanan bateri tetapi kosnya mahal. Kalau ia dibuat menggunakan tarif di peringkat domestik, ia masih lagi tidak menarik.
"Perkara itu akan dilihat (dasar eksport RE), tetapi apa jua keputusan yang dibuat kita lihat kepentingan negara terjaga.
"Kita bukan nak jual semua, kalau ya pun kita boleh jual sebahagiannya kepada Singapura, dan selebihnya disalurkan kepada industri yang ada di negara kita," ujar beliau lagi.
Pada Mac 2022, media melaporkan kerajaan tidak mengeksport tenaga boleh diperbaharui yang dihasilkan sebaliknya digunakan untuk menarik kedatangan lebih ramai pelabur ke negara ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli ketika itu, Takiyuddin berkata, RE berkenaan menjadi rebutan kebanyakan pelabur luar negara, khususnya yang memilih untuk mengaplikasikan teknologi hijau dalam pengoperasian industri atau pelaburan yang dilakukan.
#Dewan Rakyat #Nik Nazmi #Kerajaan Perpaduan #Dasar tenaga diperbaharui
;