Kerajaan sedang laksana kajian kewajaran gubal Akta Khairat - Azalina

Bernama
Julai 22, 2024 16:30 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Persidangan Dewan Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan kajian kewajaran untuk menggubal Akta Khairat (Charities Act) dan penubuhan Suruhanjaya Khairat (Charities Commission) yang akan membantu membendung isu penyalahgunaan dana sumbangan individu atau syarikat kepada organisasi kebajikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kajian kewajaran itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet lepas sebagai langkah penambahbaikan terhadap Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan Akta Pemegang Amanah 1949 yang memerlukan pindaan mendesak agar bersesuaian dengan keperluan semasa.
Azalina berkata kajian itu telah dimulakan pada 6 Mei lepas dan dijangka selesai pada pertengahan September ini dengan merujuk kepada model Akta Khairat di beberapa negara luar dalam membantu Malaysia menubuhkan akta yang sama.
Undang-undang itu ialah Charities Act 2011 di United Kingdom, Charities Act 1994 (Singapura), Charities Act 2005 (New Zealand) serta Australian Charities and Not-for-profits Commission Act2012 serta Charities Act 2013 (Australia).
"Harapan kerajaan ialah rang undang-undang ini mendapat kelulusan daripada Kabinet, Dewan Rakyat dan Dewan Negara setelah tersedianya kajian tersebut," katanya menjawab soalan Senator Datuk C.Sivaraj yang bertanyakan komitmen kerajaan dalam menggubal penubuhan Suruhanjaya Khairat pada sesi soal jawab Dewan Negara, hari ini.
Menurut Azalina, mekanisme pemantauan bagi memastikan pengurusan dana adalah telus akan ditentukan berdasarkan hasil kajian terhadap model Akta Khairat yang sedang dijalankan.
"Untuk berlaku adil, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan buat kajian dulu bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Peguam Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan supaya kita dapat melihat pendekatan terbaik kerana sebelum ini, memang ada niat untuk (orang ramai) beri bantuan tapi ada salah guna duit rakyat dan juga duit pelabur atau syarikat.
"Kita juga takut walaupun sudah dibuat tapisan keselamatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tapi dana itu kadang-kadang digunakan untuk tujuan pengubahan wang haram dan dalam kes tertentu juga, kita tidak tahu siapa (individu atau syarikat) yang meletakkan (dana) dan apa niat sebenarnya (untuk menyumbang)," katanya.
-- BERNAMA
#kerajaan gubal Akta Khairat #Azalina Othman Said #penubuhan Suruhanjaya Khairat #Dewan Negara
;