Kerajaan sasar tingkat eksport 1 juta tan minyak sawit ke Turki bermula 2022
Shuhada Abdul Kadir
Ogos 12, 2021 14:02 MYT
Ogos 12, 2021 14:02 MYT
MUAR: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasar untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke Turki sehingga 1 juta tan bermula tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha itu akan dicapai susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua negara bagi memperkukuhkan lagi pasaran sawit negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya akan menggerakkan usaha mencapai sasaran eskport minyak sawit 1 juta tan setahun.
“Insya-Allah, kita akan bergerak untuk mencapai satu angka baharu iaitu 1 juta tan setahun… walaupun memerlukan masa, tapi kita (akan) bergerak ke situ.
“Sasaran kita untuk tahun depan (2022), untuk tahun ini kita letak angka sekitar 500,000 (tan) dahulu, tapi dengan keluasan pasaran sedia ada dan dengan MoU yang kita buat dengan dua tiga pihak, Insya-Allah kita boleh mencapai sasaran itu buat masa akan datang,” kata Mohd Khairuddin.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di Sungai Abong, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, untuk peringkat awal, Malaysia meletakkan sasaran eksport minyak sawit ke Turki sebanyak 500,000 tan bermula tahun ini sebelum angka itu dijangka meningkat.
Dalam pada itu, mengulas pelaksanaan Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (Vacoms), beliau berkata, sebanyak tiga Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) telah beroperasi membabitkan sektor perladangan sawit dan getah serta industri perkayuan dan perabot.
Katanya, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pemain industri perladangan dan agrikomoditi dalam negara selesai divaksinasi menjelang oktober ini.
Selain itu, kementerian juga, jelas beliau, turut menyasarkan lebih banyak PPVIN di bawah program Vacoms dapat dibuka termasuk PPVIN bergerak sekali gus mampu menyumbang kepada proses peralihan fasa Program Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih cepat.
#eksport minyak sawit
#Turki
#Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
#Mohd Khairuddin Aman Razali