Kerajaan sasar pertingkat 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi pada 2030
Bernama
Julai 23, 2022 04:30 MYT
Julai 23, 2022 04:30 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi dan 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang memasuki aliran Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjelang 2030.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata bagi merealisasikan sasaran itu, pihaknya akan terus memperkasa TVET dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenal sistem penarafan institusi TVET.
"Proses memperkasakan TVET memerlukan sinergi tenaga pengajar yang kompeten, berkualiti dan berwibawa untuk menjalankan tugas yang diamanahkan. Tenaga pengajar TVET memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sistem latihan yang dilaksanakan.
"Mereka bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan kemahiran dan ilmu kepada pelajar malah bertanggungjawab sebagai pembentuk keperibadian pelajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Tahun 2022 di SACC pada Sabtu.
Beliau berkata kementeriannya melalui CIAST secara konsisten akan terus mendukung misi membangunkan pengajar TVET bertaraf dunia yang berpengetahuan, kompeten, berdisiplin serta responsif terhadap perubahan persekitaran dan teknologi.
"Pengiktirafan CIAST sebagai Pusat Kecemerlangan bagi Pengajar TVET' membuktikan kredibiliti CIAST sebagai peneraju tunggal dalam membangun dan memperkasakan tenaga pengajar TVET negara," katanya.
Sejak 1998, CIAST berjaya melatih 11,586 pelajar meliputi pelbagai bidang kemahiran menerusi program Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3) dengan Sijil Pengajar Vokasional (VTO) dan Sijil Pengajar Vokasional (VTO), Diploma Pengajar Vokasional ( DPV) serta Diploma Lanjutan Pengajar Vokasional (DLPV).
-- BERNAMA