Kerajaan sasar perolehan sektor budaya pada aras RM1 bilion menjelang 2025 - PM
Irwan Muhammad Zain
Oktober 26, 2021 21:33 MYT
Oktober 26, 2021 21:33 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan sasaran perolehan sektor budaya pada aras RM1 bilion menjelang tahun 2025 nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau pada tahun 2019, sektor ini telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM585 juta berbanding RM542 juta, pada 2017.
Jelas Ismail Sabri, perolehan itu membuktikan sektor budaya sejak dahulu memiliki potensi besar sebagai
penjana ekonomi.
"Kerajaan yakin, sasaran tersebut akan dapat dicapai melalui pelbagai strategi pembangunan dan program yang tersusun.
"Antaranya ialah Permata Genius dan Tunas Budaya yang cekal dalam mengakrabkan anak-anak Keluarga Malaysia kepada seni, budaya dan warisan.
"Strategi ini merangkumi pendidikan di peringkat pra-sekolah, rendah dan menengah. Seperti pepatah, jika
hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
"Kini, kesemua institusi pengajian tinggi telah pun meletakkan aktiviti ko-kurikulum sebagai pra-syarat bagi
melengkapkan pengukuran tahap kecemerlangan mahasiswa," katanya ketika berucap melancarkan Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021).
Perdana Menteri berkata, DAKEN 2021 yang dilancarkan merupakan sebuah dokumen yang holistik, yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara.
Jelas beliau, inisiatif tersebut seiring menjadikan sektor budaya sebagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri menjelaskan seluruh strategi dan pelan tindakan DAKEN 2021 memiliki tujuh teras iaitu budaya nilai tinggi; keharmonian masyarakat; pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya; pembangunan dan pengembangan budaya; pemerkasaan budaya; penjanaan ekonomi kebudayaan dan kecemerlangan budaya.
"Pada setiap teras itu, tersulam pembangunan modal insan secara konsisten. Selain pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal, dasar ini turut menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan para pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan yang sedia ada," katanya lagi.
Selain itu beliau menjelaskan DAKEN 2021 ini menggariskan hala tuju Malaysia menjadi ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’.
Katanya, ia digubal berlandaskan lima prinsip yang terdapat dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.
"Kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan DAKEN 2021 ini sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara.
"Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara," katanya.
#ismail sabri yaakob
#Perdana Menteri
#Dasar Kebudayaan Negara 2021
#DAKEN 2021
#sektor budaya
#Keluarga Malaysia