Kerajaan sasar pendapatan per kapita capai US$15,000 setahun pada 2019
Bernama
September 7, 2014 17:03 MYT
September 7, 2014 17:03 MYT
Kerajaan menyasarkan pendapatan per kapita negara ini mencapai US$15,000 atau RM48,352 setahun menjelang 2019, setahun lebih awal daripada sasaran asal negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi pada 2020.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata sasaran itu disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang semakin baik hasil perkembangan positif ekonomi dunia.
"Dalam setengah tahun pertama tahun ini, unjuran pertumbuhan ekonomi negara mencapai 6.3 peratus dan dijangka mencapai 5.5 atau 6 peratus pada hujung tahun ini.
"Ia satu pertumbuhan luar biasa dan sangat seimbang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat perwakilan Umno bahagian Maran di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Maran yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Mutallib dan Timbalan Ketua Umno bahagian Datuk Shahaniza Shamsuddin.
Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata perkembangan ekonomi negara Amerika Syarikat dan Eropah yang semakin pulih, turut mempengaruhi peningkatan kadar pendapatan perkapita negara.
Katanya purata pendapatan isi rumah 60 peratus rakyat telah meningkat sebanyak 18 peratus dari tahun 2012 hingga 2014 bersamaan dengan RM5,000 sebulan.
Sejumlah 40 peratus rakyat negara ini, khususnya masyarakat di luar bandar, masih memperoleh pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 katanya.
Namun Husni berkata kerajaan tetap menekankan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, iaitu peningkatan ekonomi negara berkembang seiring dengan peningkatan pendapatan isi rumah bagi memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil kepada rakyat.
"Kita tidak mahu apabila negara mencapai taraf negara maju, pendapatan rakyat tidak mencapai kadar yang sepatutnya.
"Sehubungan itu, kita akan terus membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat, khususnya masyarakat di luar bandar, menerusi pelbagai inisiatif ekonomi agar pendapatan mereka meningkat seiring kemajuan negara," katanya.