Kerajaan sasar kurangkan pinjaman bersih kepada RM86 bilion tahun ini - PM Anwar

Umavathi Ramayah
Julai 22, 2024 06:21 MYT
ANWAR: Pinjaman kerajaan perlu dikurangkan walaupun hutang masih membengkak. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited mengurangkan pinjaman bersih atau hutang baharu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan kewangan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan bahawa kerajaan menyasar untuk mengurangkan pinjaman tahunan kepada RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM93 bilion pada 2023, dan RM100 bilion pada 2022.
"Pada 2021 dan 2022, negara berhutang sebanyak RM100 bilion sebelum dikurangkan secara berperingkat oleh kerajaan MADANI.
"Pinjaman kerajaan perlu dikurangkan walaupun hutang masih membengkak.
"Sebab itu saya nyatakan turunkan pinjaman dengan pada 2023 pada RM93 bilion dan 2024 dikurangkan lagi kepada RM86 bilion," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024, di sini, pada Isnin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi mencapai sasaran pinjaman tahunan yang lebih rendah, kerajaan perlu memastikan perbelanjaan lebih berhemat, mengelakkan pembaziran dan hanya meminjam apabila perlu untuk tujuan pembangunan.
"Sewajarnya, rasionalisasi subsidi adalah usaha komprehensif yang merangkumi spektrum yang lebih meluas (untuk membantu mengurangkan pinjaman tahunan kerajaan).
"(Usaha lain termasuklah) menangani rasuah dan (menjalankan) cara yang lebih cekap untuk menguatkuasakan undang-undang dan usaha percukaian,” kata beliau sambil menambah pinjaman penting kepada negara untuk membayar sebahagian daripada hutang tertunggak.
#Anwar Ibrahim #pinjaman bersih #hutang baharu #kewangan negara