Kerajaan sasar kemudahan tandas mencapai 85 peratus tahap kebersihan

Bernama
November 22, 2012 16:01 MYT
Kerajaan menyasarkan kemudahan tandas di seluruh negara mencapai sekurang-kurangnya 85 peratus tahap kebersihan pada hujung tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.
Beliau berkata langkah itu penting dalam memastikan rakyat Malaysia serta pelancong mendapat kemudahan sanitasi yang sempurna termasuk di restoran, pusat membeli-belah dan sekolah, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2014.
"Kementerian melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan mengambil langkah-langkah sewajarnya, antaranya menerusi pengenalan Pelan Tindakan Tandas Bersih tahun depan.
"Melalui audit yang dijalankan, didapati tandas-tandas di seluruh negara menunjukkan peningkatan tahap kebersihan sehingga mencapai lebih 60 peratus sejak dua tahun lepas. Kita mahu lihat hasil yang lebih positif tahun depan dengan kesemua tandas mencapai tahap tiga bintang ke atas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 hari ini.
Beliau berkata Pelan Tindakan Tandas Bersih yang akan dilaksanakan oleh JKT mulai tahun depan bagi mengambil tindakan yang lebih menyeluruh menangani masalah tandas kotor di seluruh negara, memberi penekanan kepada aspek pengguna, pengurusan dan reka bentuk tandas.
Chor turut meminta agar JKT mempertimbangkan cadangan mengadakan audit dan pemeriksaan mengejut dengan lebih kerap iaitu dalam tempoh tiga bulan sekali, berbanding enam bulan yang dilaksanakan sekarang ini.
"Kita mahu JKT memberi perhatian penuh kepada pelan tindakan ini untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Berjaya atau tidak Tahun Melawat Malaysia 2014 nanti pun sedikit-sebanyak ada juga bersangkutan dengan kemudahan tandas kita," tegasnya.
Dalam pada itu, Chor berkata kementerian juga akan mengkaji kemungkinan menggunakan Rang Undang-undang Kecil Bangunan untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengusaha atau pemilik tandas yang tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan termasuk mengenakan denda.
Bagi memastikan kemudahan tandas di stesen minyak juga mencapai tahap yang ditetapkan, beliau berkata kementerian akan mengadakan dialog dengan persatuan-persatuan berkaitan untuk membincangkan langkah sewajarnya.
Terdahulu, Chor turut menyampaikan Anugerah Tandas Bersih 2012 kepada pemenang 10 kategori iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (Bandaraya/Perbandaran), Pihak Berkuasa Tempatan (Daerah), Pejabat Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, Hentian Awam, Kawasan Pelancongan, Restoran dan Pusat Beli-Belah.
Selain plak dan sijil, pemenang anugerah emas bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM3,000, RM2,000 bagi anugerah perak dan RM1,000 bagi anugerah gangsa.
Tiga pemenang utama kategori Pihak Berkuasa Tempatan (Bandaraya/Perbandaran) pula masing-masing membawa pulang plak dan sijil serta wang tunai RM5,000, RM3,000 dan RM2,000.
#Bersih #Chor Chee Heung #tahun melawat malaysia #tandas
;