Kerajaan sasar kapasiti tenaga boleh baharu meningkat 20 peratus menjelang 2025

Bernama
Disember 14, 2019 08:19 MYT
Orang ramai melaungkan slogan semasa perarakan yang dianjurkan pergerakan antarabangsa pelajar sekolah Fridays for Future pada kongres perubahan iklim COP25 yang diadakan di Madrid, Sepanyol, Jumaat, 13 Disember 2019. (Foto AP)
Malaysia komited melaksanakan usaha menangani perubahan iklim selaras dengan Konvensyen Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris, yang kerajaan berhasrat meningkatkan kapasiti sumbangan tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 20 peratus menjelang 2025.
Komitmen itu dinyatakan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis, yang mewakili Malaysia pada Mesyuarat Peringkat Tinggi, Persidangan ke-25 negara parti kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berlangsung di Madrid, Sepanyol, selama tiga hari bermula Selasa.
Pada persidangan itu, Isnaraissah Munirah memaklumkan Malaysia telah membangunkan dasar, ekosistem regulatori dan kewangan dalam memupuk ekonomi hijau dan pembangunan lestari yang rendah karbon.
Isnaraissah Munirah juga, menurut kenyataan yang dikeluarkan MESTECC pada Jumaat, memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah menjenamakan semula Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia kepada Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia.
BACA: COP25 ketengah pandangan negara sedang membangun
BACA: Greta bakal tiba, hari ini jam tiga!
Malaysia turut menekankan kepentingan prinsip tanggungjawab sama, beban berbeza dan keupayaan tersendiri sebagai faktor kejayaan dalam memenuhi obligasi Konvensyen Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris.
"Malaysia juga menegaskan bahawa negara membangun perlu diberikan ruang untuk membangun secara mampan," kata MESTECC.
VIDEO Niaga AWANI: Apa pula akan dicapai pada COP 25?
-- BERNAMA
#cop25 #ekonomi hijau #Isnaraissah Munirah Majilis #Konvensyen Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris #Madrid #menjenamakan semula #MESTECC #negara membangun #pembangunan lestari #perubahan iklim #tenaga boleh baharu