Kerajaan sasar inflasi 2.8 - 3.3 peratus, harga barangan lebih melegakan tidak lama lagi - Rafizi
Irfan Faruqi
Mei 8, 2023 16:02 MYT
Mei 8, 2023 16:02 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan kadar inflasi turun sehingga julat 2.8 peratus hingga 3.3 peratus untuk bulan-bulan akan datang.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, sejurus sasaran kadar inflasi itu tercapai, rakyat akan merasai tekanan kenaikan harga barang mula reda.
"Kita berharap dan positif ia (kadar inflasi) akan terus turun sedikit demi sedikit. Sasaran kita adalah di antara 2.8 hingga 3.3 peratus.
"Bila sudah sampai ke peringkat itu maksudnya itu tahap inflasi yang normal. Malah sebenarnya dianggap sihat dalam mana-mana ekonomi pun," katanya kepada media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Ekonomi, di sini.
Menyentuh mengenai kos sara hidup rakyat, Rafizi berkata Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenal kerajaan adalah bersifat serampang dua mata.
Usaha itu adalah untuk membantu rakyat meraih pendapatan dan dalam masa yang sama memastikan bekalan keperluan harian rakyat sentiasa ada dalam pasaran.
"Melalui IPR, ia serampang dua mata juga untuk memastikan bekalan-bekalan mula ada. Jadi perkara ini bergerak seiring. Kadar inflasi pada keadaan yang sihat dan bekalan ditambah dalam pasaran.
"Sebab itu pada masa akan datang dari satu bulan ke satu bulan, saya ingat perkara ini (penurunan kos sara hidup) akan dapat mula dirasai oleh rakyat. Tapi memang memerlukan usaha bersepadu, dan kita kena tangani setiap satu komponen yang dikira mempengaruhi beban sara hidup rakyat," jelasnya lagi.