Kerajaan sasar bina 5,000 stesen pengecas EV - Dr Adham
Eton Khir
Februari 11, 2022 16:25 MYT
Februari 11, 2022 16:25 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk membina 5,000 stesen pengecas kenderaan elektik (EV) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata antara matlamat utama usaha itu adalah untuk memartabatkan industri ekosistem kenderaan EV sedia ada sekali gus dapat meningkatkan pendapatan ekonomi negara.
Jelasnya lagi, ia merupakan landasan terbaik bagi industri automotif yang akan melibatkan inisiatif teknikal, penambahbaikan prasarana dan pengurusan.
"Sasaran oleh Dasar Automatif Nasional 2020 cuba menetapkan hampir 5,000 stesen namun perkara tersebut masih lagi dalam perancangan dan akan melihat kepada sasaran baharu.
"Dengan kerjasama syarikat-syarikat yang bersedia untuk memenuhi permintaan tempatan ini maka ia seharusnya mempunyai harga pasaran yang lebih murah agar stesen pengecas ini dapat memberi perkhidmatan yang tersedia dan mudah. Faktor lainnya, agar kita tidak perlu bimbang jika perlu melakukan perjalanan jauh dan stesen-stesen pengecas ini akan mudah didapati di mana-mana.
"Seterusnya, dengan adanya keupayaan perkhidmatan ini di negara sendiri ianya dilihat sebagai permulaan kepada perkhidmatan tempatan dan kerjasama teknologi daripada luar negara sekali gus memudahkan lagi masyarakat menerima kenderaan eletrik," katanya selepas majlis perasmian Mobility Werk Group dan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara syarikat itu dengan EZ-Charge dari United Kingdom pada Jumaat.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif MW Group, Zulkifli Kasim.
Pada masa sama, Adham berkata kerjasama strategik itu menggariskan keperluan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian mobiliti generasi akan datang dalam pembuatan alat ganti, komponen dan pengecas EV.
Katanya, pelan jangka panjang MW Group termasuk memberi tumpuan kepada penyetempatan pembuatan EV bagi membantu merangka ekosistem rantaian bekalan yang berdaya saing di pentas antarabangsa serta bersiap sedia ke arah Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dengan pembinaan sebuah kilang pintar yang menggabungkan Internet of Things (IoT), robotik, penganalisisan data dan automasi menjelang 2023 untuk terus mengeluarkan alat ganti dan komponen automotif kepada pelanggannya.
"Dengan memeterai memorandum kerjasama dengan pembiaya dan juga pengeluar teknologi antarabangsa, kita bukan sahaja dapat membangunkan kenderaan itu sendiri termasuk komponen-komponennya.
"Selain itu, kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembekal komponen kepada EV. Oleh itu, bagi merealisasikannya, ia memerlukan asas yang kukuh kerana untuk menerajui pembekal komponen kepada kenderaan elektrik ini memerlukan rangkaian jaringan antarabangsa kerana supply chains dan supply network ini memerlukan kita berhadapan dengan bekalan raw meterial seperti plastik, besi dan sebagainya.
"Usaha itu juga, atas faktor penggunaan jangka hayat bateri itu sendiri dan kita ingin maju ke hadapan dengan usaha ini bukan sahaja dengan penggunaan bateri namun juga ke arah teknologi hidrogen," katanya.
Di samping itu katanya, inisiatif ini juga akan memenuhi objektif negara untuk meningkatkan Pendidikan Dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan bakat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
“Pembangunan rangka kerja ekosistem yang kondusif dapat menyediakan peluang pekerjaan yang komprehensif serta membangunkan bakat berkemahiran tinggi selain daripada dasar sedia ada untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.
"Tambahan pula, usaha ini boleh mendorong objektif utama TVET yang bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu. Penguasaan pelbagai bidang kemahiran adalah amat diperlukan bagi memastikan modal insan tersedia bagi menghadapi cabaran-cabaran Revolusi Industri Keempat," katanya lagi.