Kerajaan sasar 20 peratus penjualan tahunan EV baharu menjelang 2030
Firdaus Azil
November 13, 2024 09:45 MYT
November 13, 2024 09:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meletakkan sasaran penjualan kenderaan berkuasa elektrik (EV) sebanyak 20 peratus daripada jumlah tahunan kenderaan penumpang dan perdagangan baharu menjelang 2030.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa, setakat September 2024, kadar jumlah jualan tahunan yang dicapai ialah 5.11 peratus, manakala bagi keseluruhan tahun 2023, kadarnya ialah 4.12 peratus.
Bagaimanapun ia berkata, jumlah penggunaan kenderaan baharu jenis penumpang dan perdagangan BEV adalah lebih tinggi pada tahun 2024 dan 2023 iaitu masing-masing 15,876 unit, dan 13,513 unit, berbanding 3,146 unit pada tahun 2020.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha bersama kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan bersama pihak industri untuk membantu memastikan pembentukan ekosistem industri EV lebih terancang dan teratur.
“Seperti mana sedia maklum, sebelum tahun 2018, penggunaan EV adalah rendahdan belum berkembang luas di Malaysia dan di rantau ini,” menurut Kementerian itu lagi.
MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, yang ingin mengetahui strategi Kementerian untuk meningkatkan penggunaan EV di Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang mengikut tahun.
Selain itu beliau ingin megetahui sejauh manakah rancangan kementerian untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur bagi menyokong penggunaan kenderaan EV di Malaysia.
MITI berkata, pelbagai inisiatif telah diambil untuk membangunkan ekosistem industri EV di negara ini, termasuk pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais untuk EV jenis CBU import sehingga hujung 2025, serta pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan untuk EV yang dikeluarkan dalam negara hingga Disember 2027.
Kerajaan juga sedang mensasarkan 10,000 petak pengecas EV di seluruh menjelang 2025, dan memberi pelepasan cukai sepenuhnya bagi kenderaan jenis BEV dari 2022 hingga 2025.
Selain itu MITI berkata, kementerian telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, rangkaian hypermarket, Persatuan Pengurusan Kompleks Membeli Belah serta Persatuan Hotel dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia bagi menggalakkan premis-premis berkaitan disokong oleh perkhidmatan pengecas awam EV untuk keperluan para pelanggan.
“Dengan usaha Kerajaan secara berterusan di pelbagai peringkat dan komitmen industri untuk membantu menyokong sasaran Kerajaan, jumlah EVCB awam akan terus meningkat dan mampu mencapai sasaran yang diinginkan pada akhir 2025,” menurut kementerian lagi.