Ia dilakukan menerusi pengambilalihan saham milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Bousted Holdings Berhad menerusi satu perjanjian jual beli di sini.
Perjanjian tersebut ditandatangani Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Seri Wan Lizozman Wan Omar mewakili Kerajaan Sarawak manakala Ketua Eksekutif, Mohammad Ashraf Md Radzi mewakili LTAT.
Ia disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Mengulas pembelian tersebut, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak yakin Affin Bank Berhad dapat membantu Sarawak meningkatkan capaian literasi kewangannya lebih cepat, dengan merapatkan jurang di bandar dan luar bandar.
“Sesetengah masyarakat sering bergelut untuk mengakses perkhidmatan perbankan formal kerana pelbagai halangan.
“AFFIN boleh secara aktif melaksanakan strategi untuk merapatkan jurang ini dengan menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan perbankan, penyelesaian pembiayaan mikro dan program celik kewangan.
“Bersama-sama kita boleh memperkasakan individu dan perniagaan yang kurang mendapat perkhidmatan ini, menyokong perjalanan mereka ke arah sara diri,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tegasnya, keputusan dan langkah strategik oleh Kerajaan Sarawak ini akan mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan bank secara kukuh dan cekap bagi meningkatkan potensi ekonominya.
Pada masa yang sama tegasnya, bank ini boleh menerokai apa yang berlaku merentasi sempadan negara, terutamanya melewati Nusantara, Indonesia.
Sementara itu dalam sidang media kemudiannya, Abang Johari turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak tidak akan campur tangan pengurusan bank tersebut bagi mengekalkan tahap profesionalismenya.
Malah katanya, pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak pengurusan untuk meneroka pelaburan strategik.
“Kerajaan Sarawak tidak akan campur dalam pengurusan bank. Kita biarkan mereka uruskan bank dan kita tunggu dividen hujung tahun.. jadi tak ada campur tangan.
Pun begitu katanya, beliau yakin AFFIN akan turut serta dalam pelbagai projek pembangunan yang ada di Sarawak.
“Dan kita adil, ada juga bank lain yang berminat meletakkan kepentingan mereka dalam pembangunan ekonomi kita.
“Tetapi apa pun saya serahkan kepada pengurusan dan lembaga bank,” katanya apabila diaju soalan apakah Kerajaan Sarawak bersedia untuk menukarkan kaedah pembayaran emolumen menggunakan bank komersial yang baharu dikuasainya itu.
Ditanya mengenai penstrukturan syarikat, beliau tidak menolak akan ada wakil kerajaan Sarawak dalam lembaga Pengarah bank tersebut selepas, yang perinciannya akan diumumkan kemudian.
Sementara itu bagi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, penguasaan 32 peratus pegangan saham Kerajaan Sarawak dalam AFFIN akan membantu bank tersebut muncul sebagai syarikat kewangan paling kreatif dan inovatif di negara ini.
“Ia memberikan anjakan kuantum kepada bank tersebut untuk memasuki fasa baharu kecemerlangannya.
“Perjanjian jual beli ini menandakan permulaan bab transformasi yang akan mempercepat trajektori pertumbuhan AFFIN. Hari ini melambangkan Permulaan kepada Permulaan Baharu. Ia menandakan pembinaan laluan baharu dan penetapan penanda aras baharu yang akan menggerakkan semua pihak yang terlibat menuju masa depan yang cerah dan berjaya.
Perikatan strategik ini jelasnya, menggabungkan kekuatan LTAT dan Kerajaan Sarawak, membentuk kuasa yang tidak dapat dihentikan yang bersedia untuk mentakrifkan semula landskap perbankan.
Untuk rekod, Affin meletakkan sasaran untuk menggandakan asas asetnya menjelang 2028 untuk mencapai RM180 bilion.
“Pada masa ini, kami berada pada RM108 bilion, dan kami ada empat tahun lagi.
“Ketika kami menetapkan pelan lima tahun kami, kami bermula dengan RM90 bilion, jadi hampir menggandakan kepada RM180 bilion,” tambah Wan Razly lagi.
Affin Bank Berhad diasaskan pada 1975 dengan nama Perwira Habib Bank, sebelum ia mengalami penstrukturan, termasuk penukaran jenamanya.