Kerajaan Sarawak tekad hapus isu kemiskinan rakyat
Faida Rahim
Mac 2, 2024 15:47 MYT
Mac 2, 2024 15:47 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak tekad meningkatkan sosioekonomi serta menghapuskan kemiskinan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan pendapatan dan ekonomi negeri ke tahap lebih baik.
"Kita mahu keterangkuman sosial (social inclusivity), kita mahu kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati kesemua lapisan masyarakat dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar. Sarawak Maju Makmur itulah matlamat kita dan ini juga akan menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.
Kerajaan Sarawak juga berhasrat menyediakan pendidikan pengajian tinggi secara percuma di universiti milik negeri itu kepada anak-anak Sarawak yang layak untuk melanjutkan pendidikan tinggi menjelang 2026.
"Dengan adanya pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti, kita yakin akan dapat melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing dan seterusnya dapat merebut peluang pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi," katanya.
Tegas beliau, amat penting untuk semua terus mengukuhkan kesepakatan, perpaduan dan kerjasama di kalangan semua masyarakat di negara ini.
Tegasnya, ini merupakan kunci memastikan negara terus stabil sekali gus dapat menghadapi cabaran mendatang dan membawa Malaysia maju.