Kerajaan Sarawak sedia bincang skop kerjasama Petros-Petronas - Abang Johari

Bernama
Februari 23, 2025 15:30 MYT
ABANG JOHARI: Kalau ada yang memanggil untuk berbincang, saya akan datanglah...yang penting ada (usaha untuk berbincang). -Gambar fail/Bernama
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Sarawak bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
  • Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyifatkan langkah ini sebagai kolaborasi baik antara kedua-dua pihak.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa perbincangan tersebut akan menyentuh aspek kerjasama, terutamanya melibatkan projek baharu yang akan diterokai oleh kedua-dua syarikat dalam pelbagai bidang.
  • Anwar juga menjelaskan bahawa hasrat Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

Menyifatkan langkah itu sebagai kolaborasi baik antara kedua-dua pihak, katanya beliau belum menerima sebarang makluman berkaitan tarikh perbincangan tersebut.
"Kalau ada yang memanggil untuk berbincang, saya akan datanglah...yang penting ada (usaha untuk berbincang).
"Ia adalah kerjasama yang baik antara kami," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sebuah klinik pergigian di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata perbincangan tersebut menyentuh aspek kerjasama terutamanya melibatkan projek baharu yang akan diterokai oleh kedua-dua syarikat terbabit dalam apa jua bidang.
Isnin lepas, Anwar pada sesi penerangan di Dewan Rakyat berkata Kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.
Perdana Menteri menjelaskan hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #Petros-Petronas #Kerajaan Sarawak #industri minyak dan gas
;