Kerajaan Sarawak kaji kuantum pelarasan gaji penjawat awam

Bernama
Ogos 16, 2024 20:50 MYT
Abang Johari berkata, kerajaan negeri mengambil ketetapan untuk turut melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam dan akan dibuat berdasarkan kemampuan. - Gambar fail
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengkaji kuantum pelarasan yang digunakan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebelum melaksanakan langkah sama untuk penjawat awam negeri itu.
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri mengambil ketetapan untuk turut melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam dan akan dibuat berdasarkan kemampuan.
"Kita sedang mengkaji gaji perkhidmatan awam kita dan kita akan kira berdasarkan pengumuman PM (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim). Setidak-tidaknya setaraf, kalau tidak pun mungkin baik sedikitlah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertandingan taekwondo Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata memandangkan skim perkhidmatan awam negeri menggunakan Jawatan Berdasarkan Caruman (JBC) dan tidak berpencen, kerajaan negeri turut mengambil kira faedah-faedah lain serta peluang kenaikan pangkat untuk kakitangan.
Pihak swasta di Sarawak juga diharap dapat menawarkan gaji dan faedah lebih baik kepada pekerja mereka, serta membuka peluang kepada penjawat awam yang berhasrat untuk menukar kerjaya dengan menyertai sektor swasta bagi meningkatkan pendapatan, katanya.
Anwar dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024, di Putrajaya hari ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
-- BERNAMA
#pelarasan gaji #penjawat awam #Kerajaan Sarawak #Abang Johari Tun Openg