Kerajaan Sarawak diminta bantu kurangkan kos harga rumah baharu - Pemaju hartanah
Astro Awani
November 9, 2020 21:50 MYT
November 9, 2020 21:50 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak mencadangkan agar kerajaan negeri membantu mengurangkan kos harga rumah di negeri itu.
Ini bagi membolehkan pihak pemaju swasta memfokuskan kepada proses penjualan rumah sekali gus mengurangkan kos pembinaan dan harga penjualan.
Menurut Penolong Setiusahanya, Iskandar Sharkawi, walaupun Sarawak memiliki tanah yang luas tetapi projek pembangunan perumahan di negeri itu memerlukan kos yang besar.
Hal ini terjadi disebabkan keadaan struktur tanah gambut di negeri itu.
“Jadi kami di pihak pemaju perumahan swasta ingin memohon kepada kerajaan bagi membantu mengurangkan kos harga rumah dengan menyediakan kemudahan infrastruktur asas.
“Ini meliputi pembinaan jalan raya, bekalan api dan air, jadi dengan ini ia akan mampu mengurangkan kos harga rumah sehingga 30 ke 40 peratus melibatkan kawasan-kawasan baharu dibuka oleh kerajaan terutama di kawasan pinggir bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi slot AWANI Sarawak di Astro AWANI pada Isnin.
Tambahnya penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam menghubungkan pinggir bandar dan pusat bandar juga wajar dipertimbangkan.
Ini bagi memudahkan pengerakan pembeli dari kawasan perumahan ke pusat bandar.
#pemaju perumahan Sarawak
#harga kos projek perumahan
#mengurangkan kos pembinaan
#kemudahan infrastruktur
#pengangkutan awam
#projek perumahan di Sarawak
#Belanjawa Negeri Sarawak 2021