Kerajaan Sarawak diharap peruntukkan lebih banyak kawasan untuk penanaman lada - Zuraida
Bernama
Ogos 24, 2022 04:03 MYT
Ogos 24, 2022 04:03 MYT
KUCHING: Kerajaan Sarawak diharap dapat memperuntukkan lebih banyak kawasannya bagi tujuan penanaman lada, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.
Katanya Sarawak mempunyai tanah yang luas sememangnya sesuai untuk penanaman komoditi itu sekali gus mampu menampung permintaan bekalan lada yang meningkat ketika ini.
Menurutnya beliau juga telah mengemukakan permohonan peruntukan tanah itu kepada Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED).
"Buat masa ini permintaan lada memang ada. Sebab itu saya minta tanah daripada Kerajaan Sarawak supaya pihak Lembaga Lada Malaysia (MPB) dapat laksanakan penanaman baharu dan penanaman semula lada.
"Pada masa yang sama kita juga perlu melihat bagaimana mahu pelbagaikan produk kita," katanya semasa berucap pada majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik MPB - Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2030 bagi sektor lada di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata buat masa ini Malaysia adalah pengeluar lada kelima terbesar di dunia yang diterajui negara Vietnam selaku pengeluar terbesar.
Katanya walaupun berada dalam senarai antara pengeluar lada terbesar dunia, nilai eksport lada negara masih kecil dan berpotensi untuk dipertingkatkan.
"Potensi ini juga boleh dilihat berdasarkan maklum balas daripada Jelajah Agrikomoditi yang kita laksanakan dari bulan Januari hingga April tahun ini.
"Negara luar beri sambutan sangat baik pada lada kita. Mereka mengenali lada kita sebagai yang terbaik terutamanya apabila mereka melihat tekstur dan produknya," katanya
-- BERNAMA