Kerajaan sambut baik pendirian Arab Saudi mengenai ibadat haji tahun ini

Astro Awani
Jun 24, 2020 20:06 MYT
Kerajaan memberi jaminan untuk memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan. Gambar fail
Kerajaan menyambut baik pendirian Arab Saudi hanya membenarkan penduduk yang tinggal dan berada di negara itu sahaja menunaikan ibadat haji tahun ini.
Keputusan itu disifatkan menggambarkan kecaknaan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, dalam memastikan ibadat tersebut dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum.
Dalam kenyataan bersama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata langkah itu juga bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa).
Justeru ujar mereka, kerajaan memberi jaminan untuk memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan untuk menunaikan ibadat haji, sekiranya ia dibenar dilaksanakan nanti.
“Menteri Luar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjanji akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi khususnya dengan rakan sejawat masing-masing bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan sekiranya kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan ibadah haji secara terhad ini.
“Kedua-dua menteri juga ingin mengajak seluruh umat Islam di Malaysia berdoa semoga wabak COVID-19 segera beransur hilang dari bumi Arab Saudi, Malaysia dan seluruh dunia,” kata menteri itu dalam kenyataan tersebut, pada Rabu.
Terdahulu, Hishammuddin memaklumkan menerima panggilan telefon daripada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, memberitahu berhubung kebenaran ibadat haji tersebut.
Sementara pada Isnin, Zulkifli ketika dihubungi oleh Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi, Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Shaikh Dr Muhammad SalehTaher Benten, turut dimaklumkan perkara sama.
#Arab Saudi #COVID-19 #Haji #Hishammuddin Hussein #Malaysia #menteri #Umat Islam #umrah
;