Kerajaan sambut baik kadar OPR kekal
Astro Awani
Julai 6, 2023 18:30 MYT
Julai 6, 2023 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyambut baik keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini.
Kerajaan juga yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun 2023, disokong dengan tahap pengangguran yang semakin menurun serta peningkatan aktiviti ekonomi, khususnya pelancongan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan berkata keputusan mengekalkan OPR adalah selaras dengan perkembangan ekonomi global serta kadar inflasi di Malaysia yang menunjukkan trend penurunan dan kekal stabil.
"Tinjauan ekonomi global dipengaruhi risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan berikutan dasar monetari kebanyakan bank pusat yang kekal ketat dan pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan," kenyataan itu menyebut.
Dalam pada itu, pelaksanaan projek kerajaan akan terus disegerakan untuk memacu kegiatan ekonomi, dengan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
Ia turut memetik saranan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pihak bank menyediakan penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan.
“Pihak bank hendaklah sentiasa peka akan kesusahan yang dihadapi peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan segera menyediakan kemudahan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan”
Peminjam dalam pada itu juga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).