Kerajaan salur RM170.81 juta geran menerusi program Agropreneur Muda sejak Januari 2016
Bernama
November 17, 2022 16:41 MYT
November 17, 2022 16:41 MYT
JASIN: Kerajaan Persekutuan menyalurkan geran berjumlah RM170.81 juta kepada seramai 8,366 penerima di bawah program Agropreneur Muda di seluruh negara sejak Januari 2016 hingga November tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata geran diberikan itu meliputi bidang tanaman, perikanan, ternakan dan industri makanan dan asas tani menerusi jabatan serta agensi di bawah kementeriannya.
"Program Agropreneur Muda ini diwujudkan untuk golongan muda berumur antara 18 hingga 40 tahun yang bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian.
"Program ini bagi mengubah persepsi golongan muda terhadap sektor pertanian di samping meningkatkan pendapatan melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti produk, penggunaan teknologi dan inovasi serta penyediaan pasaran yang kompetitif," katanya kepada pemberita di Sungai Rambai di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan penyampaian Geran Agropreneur Muda dan insentif bantuan peralatan kepada penerima MYGAP sempena program Sentuhan Masyarakat Aspirasi PKNM Bersama Keluarga Malaysia 2022.
Ahmad berkata pemberian insentif itu juga bagi menggalakkan golongan terlibat meningkatkan pengeluaran dan hasil pertanian sekali gus menambah pendapatan mereka.
"Kita dapat lihat ramai golongan muda yang berminat dengan bidang pertanian selain ada dalam mereka mempunyai kepakaran dan secara tidak langsung mereka dapat mengaplikasikan pertanian moden menggunakan teknologi seperti Internet Kebendaan (IoT) bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan lebih baik," katanya.
Beliau berkata di Melaka, lebih RM519,000 disalurkan kepada seramai 26 penerima geran Agropreneur Muda tahun ini.
-- BERNAMA