Kerajaan Sabah ucap takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir

Ruzaini Zulkepli
September 4, 2019 20:22 MYT
Seluruh rakyat Sabah turut berdukacita dengan insiden yang menimpa Allahyarham.
Kerajaan Sabah merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang terkorban dalam insiden di Kem Lok Kawi, pada Rabu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, seluruh rakyat Sabah turut berdukacita dengan insiden yang menimpa Allahyarham.
"Semoga keluarga Allahyarham terus tabah dan sabar atas berita duka ini.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
BACA: Ini 'show terakhir' - pesanan Mejar Zahir kepada ibu
BACA: Rakan Mohd Zahir, disiasat polis
Terdahulu dalam kejadian jam 8.25 pagi itu, Allahyarham Mohd Zahir dikatakan tertembak dari jarak dekat ketika latihan demonstrasi Pelancaran Divisyen ke-5 dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.
Allahyarham kemudiannya menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Queen Elizabeth kira-kira jam 9.20 pagi Rabu.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, Putatan sebelum diterbangkan ke Semenanjung pada jam 9 malam ini.
#anak AR Badul #AR Badul #Datuk Seri Mohd Shafie Apdal #Kerajaan Sabah #Mejar Mohd Zahir Armaya #Shafie Apdal
;