Kerajaan Sabah sumbang RM2 juta kepada UMS, perhebat kerja penyelidikan
Astro Awani
Oktober 14, 2022 12:28 MYT
Oktober 14, 2022 12:28 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi sumbangan RM2 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha memperhebat kerja-kerja penyelidikan universiti itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap penyelidikan membuka peluang dan pembangunan baharu dalam pengajian sesebuah universiti.
Menurutnya, beliau juga dimaklumkan oleh Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur bahawa beberapa program termasuk penyelidikan telah dilakukan UMS setakat ini.
"Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan Kerajaan Sabah memberi sumbangan RM2 juta kepada dana penyelidikan UMS. Saya berharap perkara ini akan memperkasa agenda penyelidikan UMS," katanya.
Beliau berkata demikian Program Sesi Bersama Pro Canselor UMS Dan Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena
Minggu Suai Mesra Pelajar Baharu Universiti Malaysia Sabah, Sesi 2022/2023 kali ke-28 pada Jumaat.
Tambah beliau, generasi muda mempunyai tanggungjawab menambah ilmu, kemahiran dan nilai insan menerusi pengajian.
Malah katanya, para belia juga perlu diberi peluang untuk menggubal polisi pembangunan negara.
"Sejak kebelakangan ini, peranan belia itu jelas apabila mereka tampil dan terlibat dalam beberapa pilihan raya negeri di Malaysia sekali gus menunjukkan kesediaan mereka menyumbang idea serta tenaga dalam pembangunan negara," katanya.
Menyedari hakikat itu, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri menyediakan ruang dan peluang kepada belia Sabah dengan beberapa inisiatif seperti Parlimen Belia Sabah termasuk Program Felo Sabah Maju Jaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Dalam perkembangan sama, para belia di negeri itu perlu mengambil peluang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Ini bukan sahaja sebab berdaftar secara automatik sebagai pengundi tetapi ini adalah tanggungjawab para belia sebagai rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan negara ini," katanya.