Kerajaan Sabah setuju keputusan Mahkamah Rayuan benar SLS semak kehakiman

Astro Awani
Jun 18, 2024 19:01 MYT
Brenndon (gambar) juga berkata pihaknya tidak menyokong rayuan yang dibuat AGC terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kebenaran kepada SLS. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mengekalkan kedudukan Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran kepada Sabah Law Society (SLS) meneruskan perbicaraan permohonan semakan kehakiman berkaitan geran pemberian hhas 40 peratus.
Penasihat Undang-Undang Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, Mahkamah Rayuan dalam menolak rayuan Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak bersetuju dengan kenyataan mereka bahawa SLS tidak ada locus standi.
Katanya, adalah penting untuk merekodkan bahawa sebelum menyampaikan keputusan itu, kerajaan Sabah yang diwakili beliau dan Peguam Besar Negeri telah diminta dan mengesahkan pendiriannya secara lisan.
"Isu perlembangaan penting ini harus diselesaikan sepenuhnya berdasarkan merit dalam perbicaraan substanstif permohonan SLS di Mahkamah Tinggi.
"Sebagai tambahan pihaknya juga mengesahkan menarik balik penyerahan awal yang dibuat pada 18 Mei 2024," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan membenarkan SLS untuk meneruskan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil negeri itu.
Panel tiga hakim dipengerusikan P. Ravinthran bersama Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Choo Kah Sing sebulat suara menolak rayuan Kerajaan Pusat membatalkan kebenaran semakan kehakiman yang diberikan sebelum ini.
Sehubungan itu, menurut Brenndon, pihaknya tidak menyokong rayuan yang dibuat AGC terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kebenaran kepada SLS.
Selain itu, Kerajaan Sabah akan didengar sebagai pihak dalam prosiding Mahkamah Tinggi memandangkan ia adalah kepentingan perlembagaan tinggi dan wajar untuk ditafsir secara kehakiman dan ditetapkan sebagai perkara kepentingan awam.
Dalam masa sama, sesi rundingan antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Pusat masih diteruskan mengenai pemberian khas hasil bersih 40 peratus di bawah artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ia seperti yang dipersetujui mengikut interim arrangement antara kedua-dua kerajaan.
#Brenndon Keith Soh #Hasil Negeri Sabah #Semakan kehakiman kes SLS
;