Kerajaan Sabah salur bantuan makanan RM2 juta kepada setiap daerah PKPB - Hajiji
Bernama
Oktober 9, 2020 04:20 MYT
Oktober 9, 2020 04:20 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan makanan bernilai RM2 juta untuk setiap daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Enam daerah yang dikenakan PKPB di negeri ini ialah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Sandakan, Papar dan Tuaran yang semuanya diisytihar zon merah COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan.
Hajiji berkata penyaluran bantuan itu adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah dan agihan bantuan makanan akan dibantu Polis Diraja Malaysia, RELA, Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.
"Kerajaan Negeri sedar bahawa pelaksanaan PKPB di enam daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan zon merah memberi kesan besar dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terlibat," katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.
Isnin lepas (5 Okt), Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB berkuat kuasa Rabu (7 Okt) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dan pada Rabu mengumumkan PKPB di Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah serta Klang di Selangor bermula hari ini.
Sementara itu Hajiji berkata kerajaan negeri juga bersetuju supaya semua operasi dan aktiviti bartertrade di negeri ini ditangguh bermula Isnin 12 Okt sebagai langkah membendung penularan COVID-19.
"Semua rakyat negeri Sabah diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan penuh tanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA
#bantuan makanan
#PKPB
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#Ketua Menteri
#Hajiji Noor
#Pusat Kawalan Operasi Bencana
#Sabah