Kerajaan Sabah pandang serius isu dokumentasi dan kewarganegaraan
Bernama
Ogos 1, 2019 05:42 MYT
Ogos 1, 2019 05:42 MYT
Kerajaan Sabah memandang serius isu mengenai dokumentasi dan kewarganegaraan dalam kalangan penduduk tempatan memandang masih ramai, khususnya di kalangan penduduk luar bandar yang masih belum memiliki taraf kewarganegaraan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Katanya beliau pasti tidak ada satu kaum etnik pun di Sabah yang terkecuali daripada berhadapan dengan isu ini, di mana dalam kebanyakan kes biasanya ia berkaitan pendaftaran yang tidak berlaku di waktu yang tepat, sekali gus menuntut usaha gigih pihak berkaitan untuk menanganinya, bagi mengelak timbulnya pelbagai masalah pada masa hadapan.
"Mungkin kini terdapat ribuan penduduk, khususnya kanak-kanak dari kumpulan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, atau dari kaum Lundayeh yang tinggal di Long Pasia, atau mereka yang berada di perairan timur Sabah, di mana ibu bapa gagal mendaftar anak mereka yang baru dilahirkan.
"Saya telah mengarahkan pelbagai agensi yang berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan cawangan-cawangan Parti Warisan Sabah untuk membantu," katanya dalam ucapan beliau di Persidangan Nasional ke-9 Mengenai Tiada Diskriminasi "Malaysia Baharu: Mencapai Perpaduan dalam Masyarakat Plural', di sini pada Khamis.
Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan.
Persidangan sehari anjuran Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah itu disertai 134 peserta dari kalangan aktivis, NGO dan juga pemimpin-pemimpion komuniti.
Mohd Shafie berkata menurut Gabungan NGOs Negeri Sabah, ketika ini terdapat kira-kira 60,000 individu di Sabah yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri walaupun mereka berasal dari Sabah.
Beliau berkata kerajaan Sabah akan mengukuhkan komitmen dalam memberikan taraf kewarganegaraan kepada setiap kanak-kanak yang tidak di dokumentasi yang dilahirkan di Sabah bagi memastikan masa depan mereka lebih stabil dan terhindar dari sebarang gejala jenayah.
Sementara itu Mohd Shafie berkata penduduk Sabah merasa risau dengan kehadiran pendatang asing tanpa izin yang mungkin tidak lama lagi jika tidak dibendung, akan mengambil alih populasi rakyat tempatan, dan mereka juga bimbang kehilangan kuasa ekonomi serta hak ke atas tanah kepada pendatang asing ini.
Mohd Shafie juga meminta supaya semua pihak termasuk NGO dan pemimpin tempatan supaya menghentikan sebarang sentimen negatif dan sama-sama bersatu berusaha mencari jalan penyelesaian untuk menjadikan Sabah sebagai negeri yang boleh dijadikan sebagai contoh teladan kepada negeri lain.
-- BERNAMA
#daftar kelahiran
#dokumen pengenalan diri
#dokumentasi diri
#Hashim Paijan
#jenayah
#kad pengenalan diri
#kuasa ekonomi
#Mohd Shafie Apdal
#NGO
#pendatang asing
#penduduk tempatan
#Sabah
#Suhakam
#tanah
#warganegara