Kerajaan Sabah fokus ujian saringan melibatkan Kluster Penjara Kepayan - Masidi

Hasimi Muhamad
Oktober 22, 2020 18:30 MYT
Datuk Seri Masidi Manjun berkata, saringan segera perlu dilakukan kerana ia dijangka memberi indikasi kepada situasi sebenar jangkitan COVID-19 di negeri itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah memberi tumpuan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 membabitkan kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, saringan segera perlu dilakukan kerana ia dijangka memberi indikasi kepada situasi sebenar jangkitan COVID-19 di negeri itu.
Justeru, Masidi yang juga merangkap Menteri Kewangan II berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan kes harian dalam tempoh terdekat susulan daripada kluster tersebut.
"Kerajaan telah mengarahkan urusan untuk menyaring semua mereka yang terlibat dalam Kluster Penjara Kepayan.
"Lebih cepat kita mendapat keputusan saringan tersebut adalah lebih baik kerana ia akan membantu kita mendapatkan angka atau menjadi cerminan kepada keadaan secara keseluruhan di Sabah.
"Cuma satu lagi faktor yang kita harus ingat iaitu kita juga mempunyai sampel tertunggak yang masih belum habis diurus atau diproses. Ini bermakna ia juga akan menyumbang kepada angka yang tinggi," katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual menerusi Skype, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Masidi berkata, keupayaan sumber manusia dan mobiliti kesihatan awam di negeri itu berada pada tahap yang baik, setakat ini.
Selain itu, Masidi berkata, pihaknya turut melantik tiga hospital swasta untuk menguruskan sampel tertunggak, yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 10 hari.
"Saya juga harus akui bahawa kita berhadapan dengan situasi yang kita tidak pernah hadapi sebelum ini, sudah pasti ia sedikit sebanyak memberi tekanan yang agak berat kepada petugas barisan hadapan kita, doktor dan sebagainya.
"Tetapi Alhamdulillah kita lihat jumlah kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dari Semenanjung yang telah ditempatkan lebih 800 orang tidak termasuk sukarelawan, Insya-Allah, (kita) mempunyai kakitangan yang cukup untuk mengatasi masalah ini," katanya.
Setakat 12 tengah hari Khamis, sebanyak 847 kes baharu dicatatkan di negara ini, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 578 kes direkodkan di Sabah.
#Kementerian Kesihatan #KKM #Kota Kinabalu #ujian saringan #COVID-19 #penjara #Kluster Penjara Kepayan #Masidi Manjun
;