Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata langkah jangka pendek meliputi penyelenggaraan rutin yang rapi terhadap parit monsun termasuk pemeriksaan berkala, pembersihan dan pembaikan bagi memastikan sistem saliran itu berfungsi dengan optimum dan mampu menangani hujan lebat.
Beliau berkata pembersihan dan pengorekan longkang serta sungai juga dilakukan untuk meningkatkan kapasiti dalam menguruskan air berlebihan, dan dengan mengeluarkan serpihan, sedimen serta halangan, aliran air akan bertambah baik dan mengurangkan risiko limpahan.
"Kerja ini dijalankan mengikut kekangan belanjawan yang diperuntukkan dan sumber yang ada. Namun, langkah ini adalah kritikal bagi jangka pendek untuk mengurangkan kesan segera banjir dan meminimumkan risiko kejadian serupa berlaku dalam masa terdekat," katanya di sini pada Selasa.
Kitingan berkata kerajaan Sabah juga mempercepat projek tebatan banjir sebagai langkah jangka panjang bagi penyelesaian yang mampan dan menyeluruh terhadap cabaran pengurusan banjir negeri.
Beliau berkata projek tebatan banjir direka untuk menyediakan infrastruktur yang kukuh bagi menguruskan air banjir dan melindungi kawasan terdedah, dengan mengutamakan projek ini, kerajaan negeri berhasrat meningkatkan ketahanan komuniti terhadap kejadian banjir pada masa hadapan.
Kitingan berkata kerajaan negeri turut mempercepat pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Moyog, menumpukan kepada Pakej 4 dan Pakej 2A yang dijadualkan bermula tahun ini dan siap menjelang 2029.
"Projek ini melibatkan pembinaan struktur kawalan banjir tambahan, penstabil tebing sungai dan penambahbaikan sistem saliran. Perkara ini penting untuk menguruskan aliran sungai dan mengurangkan risiko limpahan ketika hujan lebat," katanya.
Kitingan berkata dengan semua langkah ini, keutamaan kerajaan negeri adalah untuk memastikan penduduk yang terjejas menerima bantuan yang diperlukan semasa waktu kritikal ini termasuk makanan, air bersih, pakaian dan rawatan perubatan.
Beliau berkata melihat kepada keseriusan keadaan banjir ketika ini, Kitingan menyeru kerajaan Persekutuan supaya menyalurkan bantuan segera kepada Sabah, khususnya pampasan kewangan kepada mereka yang terjejas dengan bencana banjir.
"Selain itu, sumbangan barangan keperluan rumah juga diperlukan untuk membantu keluarga membaik pulih rumah mereka. Kami juga memerlukan dana untuk menampung kos pembersihan yang besar selepas banjir," katanya.
-- BERNAMA