Kerajaan Sabah ambil alih SESB dan konsesi air
Fifi Harteeny Marzuki
November 15, 2018 16:13 MYT
November 15, 2018 16:13 MYT
Kerajaan Sabah berhasrat untuk mengambil alih pelaksanaan konsesi air dan elektrik bagi menarik pelabur asing ke negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negeri Sabah.
"Perbincangan telah berlaku antara pihak Sabah Electricity Snd Bhd (SESB) untuk memberikan kuasa penuh kepada jabatan berkaitan dalam kerajaan pada tahun depan.
"Saya sedar dan tahu bahawa banyak tanggungan dan masalah yang dihadapi oleh pihak SESB. Saya juga sedar bahawa kerajaan perlu mempunyai landasan untuk memastikan agar kita dapat meningkatkan keupayaan kita menarik pelabur ke negeri ini.
"Ini kerana, komponen yang diperlukan oleh para pelabur ialah bukan hanya dari segi buruh, bekalan air yang mencukupi bahkan bekalan elektrik yang konsisten dan berpatutan," katanya dalam sidang media selepas sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-15 di sini, pda Khamis.
Sementara itu, Mohd Shafie turut menyatakan bahawa kerajaan negeri telah meminta Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negeri untuk memperhalusi perjanjian konsesi air sebelum ini yang dilihat berat sebelah.
"Ini kerana, tiada ertinya kerajaan melantik pihak swasta untuk melaksanakan konsesi ini tetapi masalah kekurangan bekalan tidak dapat diatasi," katanya.
#bekalan air
#bekalan letrik
#Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
#elektrik
#Jabatan Peguam Negeri
#Kerajaan Sabah
#landasan
#perjanjian
#SESB