Kerajaan Sabah akan pastikan individu tular hidang telur penyu dihukum
Radhi Muslim
Februari 18, 2021 04:10 MYT
Februari 18, 2021 04:10 MYT
SANDAKAN: Siasatan masih giat dijalankan berkaitan kes gambar tular individu menghidangkan telur penyu di negeri Sabah, baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya memandang serius perbuatan menghidangkan telur penyu terbabit.
Menurutnya, penyu merupakan haiwan dilindungi demi mengelakkan kepupusan haiwan terbabit.
Namun, ada sesetangah pihak tidak prihatin hal berkenaan dan pihaknya sudah meminta Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, agar menyiasat dengan lebih lanjut isu tersebut.
“Kalau boleh tidak ada kejadian-kejadian seumpama ini lagi berlakulah sebab ianya satu kesalahan di bawah Enakmen Hidupan Liar.
“Apa yang kita harapkan agar masyarakat kena prihatin, penyu merupakan haiwan yang kita lindungi dan kita mahu masyarakat sedar bahawa tindakan kita ini adalah untuk menghalang kepupusan haiwan yang kita lindungi.
“Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan, saya melihat perkara ini perlu diambil tindakan tegas, dan kita ingin pastikan siasatan telah pun dijalankan… dan kita akan pastikan mereka yang terlibat dapat kita ketengahkan dan menerima hukuman,” katanya.
Baru–baru ini tular sekeping gambar hidangan telur penyu dipercayai untuk dimakan di Facebook.