Kerajaan runding hantar pulang pendatang asing tanpa izin bebas COVID-19

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 4, 2020 13:50 MYT
Rundingan terbaharu bersama kedua-dua negara masih lagi berlangsung untuk mereka menerima warga mereka yang disahkan negatif COVID-19. - Foto Astro AWANI/Syah Hairizal Kamalul Ariffin
KOTA KINABALU: Kerajaan sedang berbincang dengan negara-negara jiran seperti Filipina dan Indonesia berhubung warga mereka yang berada di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah.
Pengarah Keselamatan Negeri Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata sejak bermula fasa kedua pandemik COVID-19 negara terbabit telah menutup sempadan bagi penghantaran pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ini.
"Kita telah berjaya membuat rundingan pada bulan Jun lalu untuk mereka menerima warga asing ini. Untuk warga Filipina kita berjaya menghantar pulang hampir 3,000 dan Indonesia pula kita berjaya menghantar lebih 1,500 tahanan.
"Tetapi apabila gelombang kedua pandemik bermula mereka telah menutup semula sempadan," katanya dalam sidang media di PTS Kota Kinabalu, di sini pada Rabu.
Tambahnya, rundingan terbaharu bersama kedua-dua negara masih lagi berlangsung untuk mereka menerima warga mereka yang disahkan negatif COVID-19.
"Walau bagaimanapun kita masih lagi mengadakan rundingan agar negara-negara ini menerima warga mereka yang bebas COVID-19 untuk kita mengurangkan jumlah tahanan kita.
"Secara keseluruhan terdapat seramai 5,238 tahanan di tiga PTS yang terdiri dari Filipina 86 peratus, Indonesia 12 peratus dan lain-lain adalah dari negara seperti Vietnam, China dan Pakistan," katanya.
Sehingga Rabu terdapat 510 tahanan disahkan positif COVID-19 melibatkan tahanan di PTS Kota Kinabalu dan Tawau.
Sh Sitti Saleha turut memaklumkan terdapat 10 anggota keselamatan PTS sedang menjalani kuarantin di rumah dan kesemua anggota yang bertugas di dalam PTS disediakan foldable camping bed.
Kecuali PTS Papar, kedua-dua PTS terbabit kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bermula 3 November 2020 sehingga 16 November 2020.
#Pusat Tahanan Sementara #PTS #Sh Sitti Saleha Habib Yussof #Vietnam #China #Pakistan #keselamatan #PTS Papar
;