Kerajaan rangka strategi baharu tambah rantaian makanan - Rafizi

Rahimah Abdullah
Januari 25, 2023 14:08 MYT
Rafizi pada sidang media Kementerian Ekonomi di Putrajaya pada Rabu. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang merangka strategi baharu bagi menambah rantaian makanan serta sumber negara bagi menggantikan bekalan import.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah quick win solution kepada isu kos sara hidup dan rantaian makanan itu akan diumumkan dalam waktu terdekat.
“Langkah untuk jangka panjang juga sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.
“Kita kena pastikan semua pihak peka dengan turun naik harga bagi melahirkan penurunan harga makanan cepat diterjemahkan atau kita kembali kepada persepsi rakyat “harga barang bila dia naik, dia takkan turun.
“Selalu orang sebut kenapa (kerajaan) tak turunkan harga. Kos tenaga kerajaan bagi subsidi supaya elektrik tak naik, dan kos gas ditanggung kerajaan. Bekalan mentah kerajaan akan kawal dan perkara ini akan berlaku,” katanya dalam sidang media Kementerian Ekonomi di sini pada Rabu.
Ujar beliau lagi, kerajaan dari semasa ke semasa akan membantu rakyat dalam memastikan input kos terkawal.
“Namun, kenaikan harga siap di restoran perlu setara dengan bahan mentah yang lain,” ujarnya.
Tambahnya lagi, peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah, terutamanya di hotel dan restoran adalah penyumbang utama kepada kadar inflasi.
Justeru, katanya usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, dari kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat.
Dalam pada itu, Rafizi menegaskan, pembangkang cuba memainkan isu inflasi, namun beliau percaya rakyat pada hari ini sudah pandai menilai.
“Kalau pembangkang nak main isu inflasi itu terpulang, rakyat ini cerdik. Sebab usaha tangani harga barang ini perlu berterusan.Rakyat tahu kita cuba yang terbaik,” ujarnya.
#rantaian makanan #Menteri Ekonomi #Rafizi Ramli #kos sara hidup
;