Kerajaan rangka program besar, lebih baik bagi mengurangkan tekanan hidup rakyat - PM Anwar
Bernama
Ogos 9, 2023 20:11 MYT
Ogos 9, 2023 20:11 MYT
KUALA NERUS: Kerajaan sedang merangka untuk melaksanakan program yang besar dan lebih baik bagi mengurangkan tekanan hidup rakyat dalam Belanjawan MADANI kedua pada Oktober nanti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam program itu kerajaan turut berhasrat agar Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memainkan peranan mengangkat martabat rakyat yang miskin.
"Kalau ditanya mengapa? Saya berkata saban minggu bicara soal kemiskinan. Sebabnya kita orang Islam tahu tanggungjawab kita...orang yang memakan harta anak yatim dan tidak memelihara kepentingan orang miskin itu disebut dalam al-Quran, (sebagai) orang yang mendustakan agama. Ini soal yang berat jadi kalau saya sekarang ini ada amanah sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh pandang ringan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sahabat Usahawan MADANI Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Terengganu di Kuala Nerus di sini, hari ini.
Anwar berkata beliau begitu bertekad untuk memperjuangkan nasib rakyat yang miskin kerana yakin martabat rakyat boleh diangkat sekiranya negara dipimpin oleh golongan yang prihatin dan menolong rakyat miskin.