Kerajaan rangka dasar padi, beras demi kepentingan semua pihak
Faida Rahim
Mac 20, 2024 13:21 MYT
Mac 20, 2024 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka dasar padi dan beras melibatkan lima kementerian dengan mengambil kira kepentingan para petani, pengilang, pengedar serta peruncit di negara ini.
Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya mungkin mengambil masa tiga hingga empat bulan daripada sekarang sebelum mengumumkannya.
"Sebelum umum, kementerian perlu bincang dengan semua pemegang taruh. Dengan dasar baharu ini, kita harap, dan yang paling perlu dibela adalah para penanam padi.
"Kemudian, bagaimana peruncit boleh menjual dan mendapat keuntungan, pengilang tidak sampai menanggung kerugian dan terpaksa menutup perusahaan, dan pengguna, yang terdiri daripada pelbagai kategori," katanya ketika ditemu bual Awani Pagi hari ini.
Mohamad berkata, penyelarasan perlu dilakukan kerana ketika ini, contohnya, pekerja-pekerja asing yang berada di Malaysia juga menikmati beras yang disubsidi kerajaan.
"Jadi, kita hendak buat satu penyelarasan, yang mana pengumuman baru kita nanti melibatkan semua pihak, perbincangan yang lebih panjang dan kita harap semua pihak mengambil bahagian.
"Sebab, soal sekuriti makanan ini bukan soal kepentingan mana-mana parti politik, negeri dan kaum," tambahnya.
Dalam pada itu, Mohamad juga yakin ketersediaan teknologi canggih di negara ini dapat membantu kementerian meningkatkan pengeluaran serta kualiti beras di tahap terbaik.
Untuk rancangan jangka panjang, katanya, beberapa negeri telah tampil bekerjasama menyediakan tapak sawah padi yang lebih luas termasuk di Sabah, Sarawak, Pahang dan Perak.
"Negara tidak boleh bergantung kepada beras import. Pengeluaran kita 62 peratus, bolehkah kita capai sehingga 100 peratus, atau sekurang-kurangnya hampir ke SSL (tahap sara diri)? Saya cakap, boleh.
"Iaitu dengan meningkatkan teknologinya, pembinaan, penjagaannya dan berbagai teknologi yang berpusu-pusu datang ke kementerian memberi pelbagai pandangan.
"Kita juga buka tapak sawah baru. Setakat ini, Alhamdulillah, dapat kerjasama semua negeri," tambahnya.