Kerajaan rancang kerjasama jadikan Sabah dan Sarawak lembah tenusu baharu
Ruzaini Zulkepli
Julai 10, 2020 16:34 MYT
Julai 10, 2020 16:34 MYT
Kerajaan komited untuk terus memberi sokongan dan kerjasama dengan pentadbiran negeri Sabah khususnya dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan.
Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata sokongan dan kerjasama itu termasuk hasrat untuk mengembangkan produk tenusu dengan mewujudkan lembah tenusu di Sabah dan Sarawak.
"Buat masa ini belum ada perbincangan rasmi, tetapi semangat sebenarnya adalah untuk berkerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri. Kita akan membantu dan meneruskan kerjasama bagi memastikan pengeluaran makanan mencukupi khususnya produk tenusu.
"Walaupun pengambilan produk tenusu sehari bagi rakyat Malaysia masih rendah tetapi pengeluaran tempatan masih belum dapat menampung permintaan sedia ada tersebut.
"Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan kerana dalam tempoh terdekat ini kita akan cuba mewujudkan lembah tenusu yang sama bagi meningkatkan pengeluaran produk tenusu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ladang Eco Yap di Keningau pada Jumaat.
Menurut Che Abdullah, pewujudan lembah tenusu di Sabah dan Sarawak itu nanti akan turut melibatkan penternak ruminan baru dan sedia ada di negeri terbabit.
"Kewujudan lembah-lembah itu nanti akan melibatkan tidak hanya penternak ruminan sedia malah melibatkan penternak baharu. Fokus utama adalah bagi meningkatkan jumlah ternakan sedia ada dan meningkatkan lagi pengeluaran tenusu.
"Ketika ini negara memerlukan lebih dari 20 juta liter susu setahun dan kerana itu kebanyakan susu cair di pasaran terpaksa diimport. Jadi dengan usaha ini kita tidak lagi bergantung kepada produk tenusu import kerana produk sedia ada di negara ini adalah yang asli tanpa sebarang campuran-campuran seperti yang kita lihat di Keningau ini," katanya.
Tambahnya bermula tahun ini bagi tempoh lima tahun, kerajaan mensasarkan penambahan bilangan lembu tenusu betina kepada 10,000 ekor bagi menghasilkan pertambahan susu sebanyak 20 juta liter setahun dan sejumlah RM200 juta ringgit diperlukan bagi mencapai sasaran tersebut.
#Datuk Che Abdullah Mat Nawi
#Keningau
#kerajaan
#Menteri Pertanian dan Industri Makanan
#Produk Tenusu
#rakyat
#rakyat Malaysia
#tenusu