Kerajaan Pusat terus bantu jayakan pembangunan luar bandar Sarawak - PM
Astro Awani
Oktober 23, 2021 16:29 MYT
Oktober 23, 2021 16:29 MYT
KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan terus membantu menjayakan agenda pembangunan luar bandar di Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk menyediakan keperluan utiliti, jalan raya dan sekolah selain memperbaiki sekolah daif di seluruh negeri itu.
‘’Apa yang dibangkitkan tadi dari segi pembangunan di luar bandar... keperluan untuk utiliti air yang perlu dipertingkatkan... begitu juga jalan-jalan luar bandar.
‘’Yang pentingnya tadi saya dimaklumkan keperluan menaik taraf sekolah daif di seluruh Sarawak... bukan hanya sekolah tapi dari segi kuarters guru yang perlukan perhatian segera,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke tapak projek Hospital Petra Jaya, di Kuching pada Sabtu.
Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan pembinaan hospital berkenaan yang terbengkalai sebelum ini, Ismail Sabri berharap ia dapat disiapkan pada 2024.
Beliau pada masa sama berharap pemantauan rapi dilakukan bagi mengelak kebergantungan kepada kontraktor penyelamat.
‘’Saya rasa dari segi pemantauan kerja tu yang penting. Saya tidak mahu ada kontraktor penyelamat lagi... yang penting kontraktor dipantau kerja dan siap.
"Sebab bila berlaku kelewatan... harapan rakyat dan kerajaan negeri untuk mendapatkan hospital ini akan terjejas. (Selain itu) merugikan dari segi kos. Kos pasti akan meningkat kalau projek itu terlewat,’’ tambahnya.
Beliau pada masa sama berharap segala permasalahan berkaitan pembangunan yang berbangkit di Sarawak akan dapat diselesaikan pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).